Tuesday, October 19, 2010

Skim Rumah Pertama: Jadikan ASET

Masih mengenai Skim Rumah Pertama, bagaimana ianya
boleh menjadi musibah jika anda menggunakannya
untuk membina LIABILITI anda dan rahmat jika anda
guna untuk bina ASET anda. Anda boleh baca artikel
semalam di;

http://www.getresponse.com/archive/uruskewangan/Skim-Rumah-Pertama-Bakal-Liabiliti-anda-5085906.html

===============================================
Bagaimana membeli rumah ber'status' LIABILITI
===============================================

Rumah ini adalah rumah untuk anda diami, jika anda
menggunakan Skim Rumah Pertama 0% downpayment untuk
membeli, anda RUGI. Sangat RUGI. Kenapa?

.... Anda membayar lebih banyak duit 'interest'...
Lebih banyak duit anda rugi dalam jangka masa panjang...

Sedikit pengiraan kasar, harga rumah maksimum skim
rumah pertama ialah RM220,000. Anda lihat berapa
jumlah 'interest' yang anda bayar;

********************
0% downpayment
********************

Harga Rumah: RM220,000
% interest (kasar): 6.30% (BLR Oktober)
Tempoh bayaran balik: 30 tahun
Bayaran bulanan: RM1,362
Jumlah bayaran pada bank: RM490,320
Jumlah lebihan anda bayar: RM490,320 - RM220,000
: RM270,320

********************
10% downpayment
********************

Harga Rumah: RM220,000
% interest (kasar): 6.30%
Tempoh bayaran balik: 30 tahun
Bayaran bulanan: RM1,226
Jumlah bayaran pada bank: RM441,360
Jumlah lebihan anda bayar: RM441,360 - RM220,000
: RM221,360


Perbezaan lebih kurang RM48,960. Tapi anda lihat, jika
anda bayar 10% downpayment sekalipun, jumlah keseluruhan
yang anda bayar pada bank adalah melebihi harga 2 buah
rumah yang anda beli... inikan pula jika 0% downpayment.
AMAT RUGI... AMAT RUGI..


Cara ideal untuk membeli rumah untuk anda sendiri diami
dan MENGURANGKAN anda bayar 'interest' (sesuatu yang merugikan)
adalah dengan;

1 - bayar downpayment tinggi
2 - pendekkan tempoh pinjaman

Lagi panjang tempoh bayaran, lagi tinggi interest, lagi banyak
wang yang tak sepatutnya dibayar, lagi tinggi bank untung


================================================================
Jadi Bagaimana nak MANIPULASI Skim Rumah Pertama menjadi ASET?
================================================================

Jadikan rumah tersebut sebagai rumah sewa. Anda beli dan sewakan!
Ketika itu, rumah yang anda beli sudah menjadi ASET buat anda
kerana ianya mendatangkan wang untuk anda, dan bukan mengeluarkan
wang dari poket anda. Lihat balik takrifan ASET dan LIABILITI
dalam artikel sebelum ini.

Untuk beli rumah untuk ANDA SENDIRI DIAMI, cara ideal ialah;

1 - bayar downpayment tinggi
2 - pendekkan tempoh pinjaman
>>>>akan mengurangkan jumlah interest yang perlu dibayar

Untuk beli rumah untuk disewakan, idealnya kontra dengan
idea ideal rumah anda diami;

1 - bayar downpayment serendah mungkin
2 - panjangkan tempoh pinjaman sepanjang mungkin

Tapi menggunakan Skim Rumah Pertama, anda tak perlu bayar
downpayment! Zero cost untuk anda!

nantikan sambungan artikel ini dalam email akan datang,
saya akan tunjukkan cerakin;

"membina ASET PERTAMA pada kos HAmPIR KOSONG: Manipulasi SRP"


Muaz Hadi
pengurusanwang.com

Skim Rumah Pertama: Bakal Liabiliti anda?

Bagaimana dengan belanjawan 2011 yang dibentangkan?
Pasti ramai yang senyum dan ada juga yang tak berapa
suka, tapi itu biasalah, tak semua hati boleh dipuaskan.

Saya amat tertarik dengan SKIM RUMAH PERTAMA yang
diumumkan oleh YAB Perdana Menteri yang secara kasarnya
memberi peluang kepada orang ramai yang mempunyai pendapatan
isi rumah di bawah RM3000 memiliki rumah pertama mereka
tanpa perlu membayar downpayment 10% seperti yang menjadi
amalan pinjaman perumahan sebelum ini.

Ini adalah satu langkah yang positif jika dilihat secara
kolektif tetapi boleh jadi sebaliknya juga, bergantung
kepada bagaimana ianya diambil.

==================================
Bagaimana Ianya Menjadi Positif
==================================

Memberi peluang kepada lebih ramai orang memiliki
rumah, terutama graduan-graduan yang baru nak
membina kerjaya. Mereka tak perlu lagi menunggu
sehingga setahun++ untuk mengumpul downpayment 10%
kira-kira RM22,000 dan tak perlu membazir menyewa
rumah dalam tempoh tersebut.

Dalam kes ini, kita harus berterima kasih kepada kerajaan


=====================================
Bagaimana Ianya Menjadi Negatif
=====================================

Mesti ada yang tahu skim 0% downpayment pembelian
kereta kan? Apa kesan skim tersebut? Berapa banyak
kereta yang ditarik oleh bank sebab kegagalan pembeli
membayar bayaran bulanan.

Dalam Skim Rumah Pertama, belum diketahui bagaimana
mekanisma penampan untuk mengelakkan senario yang sama
berlaku kepada pinjaman perumahan. Kita tak mahu ianya
berlaku kerana ianya akan merugikan dan membawa kepada
bank tarik semula rumah dan siap sedia untuk dilelong..

Dalam kes ini, semua kena berjaga-jaga


===================================
Bagaimana Ianya Menjadi Peluang?
===================================

Ada beberapa peluang di sini, antaranya anda boleh
membina aset pertama anda! Tapi anda perlu berfikir
dengan cara yang berlainan sedikit, aset yang dimaksudkan
disini;

ASET = rumah yang membuatkan duit MASUK ke poket
LIABILITI = rumah yang membuatkan duit KELUAR dari poket

Rumah yang anda beli dengan pinjaman untuk didiami jika dikira
dalam definisi ini adalah LIABILITI dan rumah yang anda
beli dengan pinjaman untuk disewakan adalah ASET

Jadi anda boleh menggunakan Skim Rumah Pertama untuk membina
aset anda dan membuat pinjaman yang lain untuk membeli
rumah sebenar anda, tapi anda kena bijak merangka dalam
kes ini kerana anda bakal mempunyai 2 rumah!


===============================================
Bagaimana membeli rumah ber'status' LIABILITI
===============================================

Rumah ini adalah rumah untuk anda diami, jika anda
menggunakan Skim Rumah Pertama 0% downpayment untuk
membeli, anda RUGI. Sangat RUGI. Kenapa?

.... Anda membayar lebih banyak duit 'interest'...
Lebih banyak duit anda rugi dalam jangka masa panjang...

Cara ideal untuk membeli rumah untuk anda sendiri diami
dan MENGELAKKAN anda bayar 'interest' (sesuatu yang merugikan)
adalah dengan;

1 - bayar downpayment tinggi
2 - pendekkan tempoh pinjaman

Lagi panjang tempoh bayaran, lagi tinggi interest, lagi banyak
wang yang tak sepatutnya dibayar, lagi tinggi bank untung


====Gunakan "Skim Rumah Pertama" untuk membeli Rumah
ber'status ASET.. nantikan sambungan dalam email yang
seterusnya.


Muaz Hadi
pengurusanwang.com
tipsptd.com/blog
bagaimana-nak.com

Monday, October 18, 2010

Tip beli rumah idaman

MEMILIKI kediaman atas nama sendiri menjadi idaman semua individu namun, tidak ramai yang tahu prosedur pembelian rumah, malah lebih memeningkan kepala memikirkan faktor kewangan bagi membayar ansuran bulanan.

Kebanyakan individu keliru memikirkan soal rumah sebagai keperluan atau kemahuan yang mana pada akhirnya akan menimbulkan pelbagai masalah berikutan kekurangan wang bagi menampung perbelanjaan bulanan yang hampir separuh disalurkan untuk membayar ansuran rumah yang diidamkan.

Ikuti temu bual wartawan Bisnes Metro, Syarifah Dayana Syed Bakri bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Hijrah Wealth Management Sdn Bhd, Mahdzir Md Isa (gambar), mengenai panduan sebelum membuat keputusan membeli rumah bagi mereka yang pertama kali bercadang memiliki kediaman sendiri.


APAKAH perkara yang harus diambil kira sebelum membuat keputusan untuk membeli rumah?

Perkara utama yang harus difikirkan sebelum membuat keputusan ialah melihat kemampuan kewangan sendiri. Ini kerana tidak semua individu yang bekerja dan mempunyai pendapatan bulanan mampu membayar ansuran bulanan bagi kediaman jenis banglo.

Untuk memudahkan perancangan, kita perlu membuat kiraan dengan menolak semua perbelanjaan termasuk hutang, simpanan dan pelaburan. Baki yang tinggal digelar sebagai lebihan dan ia menjadi penanda aras untuk menentukan rumah jenis apa yang harus dibeli.


Namun, harus diingat bahawa pendapatan bulanan tidak seharusnya dicampur dengan elaun atau bayaran kerja lebih masa (OT) kerana ia bukan sebahagian pendapatan tetap.


Sekiranya individu itu mempunyai lebihan sebanyak RM500, adakah dia perlu membeli kediaman yang menetapkan ansuran bulanan sekitar jumlah sama?

Faktor pemilihan yang harus diambil kira adalah lokasi dan jumlah lebihan RM500 itu mungkin cukup sekiranya rumah yang ingin dibeli itu berada pada lokasi yang setara.

Sebelum pinjaman perumahan diluluskan, bank akan melihat kelayakan pemohon. Ini termasuk meneliti pendapatan bulanan dan harga rumah yang ingin dibeli. Malah, bank akan melihat sama ada bayaran bulanan tidak melebihi satu per tiga gaji.

Contohnya, pembeli ingin mendapatkan rumah berharga RM150,000. Sekiranya dicampur faedah yang dikenakan bank, bayaran pendahuluan serta tempoh pembiayaan, maka bayaran bulanan mencecah RM1,012 dan ia jelas menunjukkan pembeli yang mempunyai lebihan pendapatan RM500 masih belum mampu membeli rumah berharga RM150,000.


Jika perkara seumpama itu berlaku, apakah langkah yang harus diambil oleh individu itu?

Ada pihak berpendapat bahawa lebih baik membeli rumah walaupun perbelanjaan bulanan mungkin tidak cukup berbanding menyewa bertahun-tahun. Pendapat itu mungkin tidak berapa benar kerana dengan menyewa, individu itu masih mampu menyimpan bagi membuat pembayaran pendahuluan lebih tinggi walaupun dia terpaksa menyewa hampir 10 tahun.

Mungkin ada individu yang mengikat perut untuk membayar ansuran bulanan rumah, namun harus ambil kira simpanan untuk kecemasan.

Selain itu, bagi mereka yang masih ingin mendapatkan rumah sendiri, memilih rumah yang dilelong adalah satu cara yang baik kerana harga rumah lelongan adalah 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

Jangan terus melabelkan rumah lelong sebagai rumah tinggal atau banyak kerosakan kerana bakal pembeli berhak melihat keadaan rumah sebelum membuat bidaan.


Apa pula perkara yang harus diambil kira sebelum membuat keputusan membeli rumah?

Banyak pihak hanya menyediakan wang pendahuluan 10 peratus daripada harga rumah, namun tanpa disedari jumlah wang yang diperlukan adalah lebih banyak daripada itu kerana ia merangkumi kos guaman serta surat perjanjian jual beli. Maka, untuk lebih selamat, bakal pembeli perlu menyediakan wang sebanyak 15 peratus daripada harga rumah bagi mengelakkan kesesakan di kemudian hari.

Malah, saya nasihatkan supaya sebelum membuat keputusan untuk membeli rumah, pastikan anda benar-benar mempunyai simpanan yang cukup untuk membuat bayaran pendahuluan kerana idea membuat pinjaman peribadi bagi membayar wang pendahuluan hanyalah akan menambah masalah.

Selain itu, antara tip yang boleh diguna pakai adalah bayar wang pendahuluan setinggi yang boleh supaya boleh memohon pinjaman bank serendah yang boleh serta tetapkan tempoh pembayaran sesingkat yang boleh antara 15 hingga 20 tahun.

Walaupun ada bank yang menawarkan pinjaman sehingga dua generasi mencecah tempoh 40 tahun, ia bukan satu langkah yang bijak kerana kita pasti tidak mahu mewariskan hutang kepada anak-anak.


Apa nasihat untuk mereka yang pertama kali membuat pembelian rumah?

Kita sedia maklum semua orang memiliki rumah idaman masing-masing dan tidak ada yang mengidamkan untuk memiliki rumah kecil. Namun, sebagai permulaan, ia adalah langkah terbaik kerana rumah adalah keperluan. Walaupun kita mahukan rumah semi-D berharga RM300,000, namun berdasarkan pendapatan semasa ia di luar kemampuan, maka tidak salah sekiranya kita membeli apartmen atau flat yang murah.

Dalam tempoh 10 tahun, harga rumah mungkin akan meningkat. Sekiranya keadaan itu berlaku, ambil tindakan dengan menjual rumah berkenaan dan wang yang diperoleh boleh digunakan untuk membayar wang pendahuluan rumah idaman anda.

Jangan tertekan dengan spekulasi bahawa sekiranya tidak beli rumah sekarang, harga akan meningkat. Memang benar harga rumah akan meningkat namun, ia tidak akan melebihi dua kali ganda harga kini dalam tempoh lima tahun. Malah, harga siling rumah ditetapkan pasaran. Jika terlalu mahal, tiada siapa akan beli.

(http://www.hmetro.com.my -18 oktober 2010)

Friday, October 15, 2010

Jaga Wang Anda

Pernahkah anda terfikir apa yang akan berlaku kepada sebuah kebun sayur yang terbiar? Sudah tentu kebun itu mempunyai lebih banyak pohon layu berbanding tumbuh-tumbuhan berdaun hijau dan buah-buahan segar. Perkara yang sama juga berlaku kepada pelaburan. Jika tidak diawasi, anda mungkin tidak akan melihat hasil dan pulangan yang diharapkan.

Oleh itu, jika membuat kajian sebelum melabur itu penting, maka mengekalkan disiplin untuk memantau pelaburan itu juga sama pentingnya. Mengawasi pelaburan merupakan aktiviti yang perlu dilakukan bagi memastikan prestasi pelaburan anda bergerak selaras dengan perancangan kewangan dan jangkaan anda. Dengan memantau pelaburan anda, anda boleh menyesuaikan strategi anda sama ada meningkatkan pulangan atau mengurangkan kerugian. Diberikan di sini beberapa panduan mudah untuk mengawasi pelaburan anda:

Perhatikan perubahan yang berlaku

Kita hidup dalam dunia yang berubah-ubah. Segala-galanya bergerak dan berubah dengan pantas. Oleh itu, tidak kira betapa teliti dan terperinci pun anda membuat perancangan kewangan, ia tetap akan dipengaruhi oleh perubahan. Perubahan kepada undang-undang dan peraturan, persekitaran ekonomi dalam negara dan dunia yang berubah-ubah sifatnya, (contohnya, krisis kewangan Asia pada tahun 1997), perubahan dalam pasaran modal dan perubahan dalam keuntungan syarikat boleh mempengaruhi pelaburan anda.

Kesan daripada perubahan itu, pelaburan anda mungkin perlu disusun semula untuk disesuaikan dengan perancangan kewangan dan matlamat anda dengan lebih baik lagi. Pelabur yang bijak perlu proaktif kepada semua perubahan ini.

Nilaikan prestasi

Anda perlu memantau dan menilai prestasi pelaburan anda secara berterusan untuk mengetahui keadaan pelaburan tersebut. Periksa selalu bagaimana saham, dana unit amanah dan pelaburan anda yang lain bergerak dibandingkan dengan perancangan yang anda buat ketika mula-mula menetapkan matlamat pelaburan anda dahulu. Jika pelaburan anda berada dalam keadaan memuaskan, anda mungkin mahu melaburkan lebih banyak wang, atau mengeluarkan sebahagian daripada keuntungan anda dan membeli produk pelaburan yang lain. Jika prestasi pelaburan itu tidak berlaku sebagaimana yang diharapkan, anda mungkin mahu menjualnya.
Berapa kerap anda perlu menyemak pelaburan anda bergantung kepada saiz dan jangka masa pelaburan tersebut, dan sama ada anda memilih aset yang berisiko tinggi atau rendah.

Simpan dokumen pelaburan

Cara paling mudah memantau pelaburan anda adalah dengan menyemak dokumen dan penyata yang dihantar kepada anda. Penyata pelaburan (misalannya, akaun penyata CDS, penyata akaun urus niaga dan nota kontrak) memudahkan proses pemantauan anda.

Sebagai contoh, nota kontrak yang dikeluarkan oleh syarikat broker saham untuk mengesahkan transaksi pasaran saham anda. Sesuatu nota kontrak, yang merupakan dokumen yang sah di sisi undang-undang, mengandungi butiran penting mengenai transaksi pelaburan anda, umpamanya butiran mengenai urus niaga, pembrokeran, duti setem, fi penjelasan, kos pembelian dan hasil daripada jualan. Jika anda tidak menerima nota kontrak, anda mesti menghubungi remisier anda dan mendesak supaya nota itu dihantar dengan segera.

Apa yang perlu anda buat sejurus sahaja menerima dokumen pelaburan anda ialah membaca dan memeriksa ketepatan maklumat di dalamnya. Jika anda fikir terdapat sebarang maklumat tidak tepat, hubungi profesional pelaburan anda dengan segera. Anda juga mesti memfailkan dokumen tersebut secara sistematik untuk rujukan pada masa hadapan.
Paling baik jika anda boleh mengawasi sendiri pelaburan anda dan tidak menyerahkan tugas itu kepada orang lain. Pengawasan perlu dilakukan secara kerap tanpa henti kerana pengawasan yang dilakukan sekali-sekala mungkin boleh menyebabkan anda mengalami kerugian.

DUIT: Bayar hutang atau simpan?

Walaupun terdapat banyak maklumat yang boleh diperolehi mengenai pengurusan wang, kebanyakan daripada kita masih lagi tidak dapat merancang kewangan dengan baik. Statistik menunjukkan bahawa hutang kad kredit rakyat Malaysia berjumlah hampir RM25 bilion (setakat Mac 2010). Situasi ini sememangnya merisaukan dan isu kepentingan menyimpan duit dan membayar hutang sepatutnya menjadi satu perkara yang dititik beratkan oleh semua lapisan masyarakat.

Persoalannya, dengan pendapatan yang terhad, apakah kita patut menggunakan duit gaji untuk membayar hutang sedia ada atau wang itu sepatutnya disimpan? Mana satu perlu didahulukan? Yang mana satu patut menjadi keutamaan? Membayar hutang atau membuat simpanan?

Ini adalah keputusan penting yang harus dibuat kerana walaupun mempunyai akaun simpanan adalah satu cara untuk merancang masa depan, tetapi menjadi bebas hutang adalah strategi yang sangat berkesan bagi mencapai kedudukan kewangan jangka panjang yang stabil. Pada akhir artikel ini, anda akan dapat mengenal pasti langkah-langkah yang boleh diambil untuk membantu mencari keseimbangan antara menyimpan duit dan membayar hutang.

Langkah #1: Wujudkan Dana Kecemasan

Sebelum anda membuat keputusan sama ada untuk meyimpan duit atau menjelaskan hutang, langkah pertama yang harus dilakukan adalah membina dana kecemasan terlebih dahulu. Dana kecemasan secara amnya merujuk kepada wang yang disimpan untuk digunakan ketika anda betul-betul memerlukannya. Ini sepatutnya menjadi matlamat simpanan anda yang paling utama. Setelah itu, barulah anda menyimpan untuk pembelian rumah, pendidikan anak dan juga persaraan. Tidak kira sama ada anda seorang yang baru ingin menyimpan duit atau sudah mempunyai simpanan yang banyak, mempunyai sejumlah wang yang mencukupi dalam dana kecemasan akan memberikan ketenangan fikiran kerana anda sudah mempunyai perlindungan yang sewajarnya.

Dana kecemasan adalah penting kerana sekiranya menghadapi masalah seperti kehilangan kerja, ditimpa penyakit, kereta rosak dan sebagainya, anda tidak perlu berhutang. Denganini, situasi kewangan anda tidak terlalu terjejas walaupun menghadapi kesukaran seperti di atas. Ingatlah bahawa dana kecemasan ini harus digunakan dalam keadaan yang terdesak sahaja dan bukannya untuk percutian, membeli barang kesukaan atau “kehendak-kehendak” yang lain.

Jadi berapakah jumlah dana kecemasan yang harus anda disimpan? Kebanyakan pakar kewangan mencadangkan bahawa anda menyimpan sebanyak tiga hingga enam bulan daripada perbelanjaan bulanan. Apabila gaji meningkat, tambahkan jumlah simpanan dana kecemasan supaya anda sentiasa memiliki simpanan sebanyak enam bulan daripada perbelanjaan bulanan. Akhir sekali, sentiasa tambah semula dana kecemasan jika anda telah menggunakannya.


Langkah #2: Langsaikan Hutang Anda

Setelah mempunyai simpanan dalam dana kecemasan, kini masanya untuk mengalihkan perhatian kepada teras masalah anda iaitu HUTANG. Oleh kerana gaji yang terhad, anda perlu menggunakan sebahagian atau semua duit yang dahulunya disimpan dalam dana kecemasan untuk membayar hutang.

Bagaimana pula dengan simpanan? Ia mungkin bukan satu tindakan yang bijak untuk menambah lagi duit simpanan apabila anda masih mempunyai hutang. Kebanyakan hutang mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi daripada akaun-akaun simpanan biasa di bank. Dengan itu, anda sebenarnya kerugian lebih banyak duit daripada hutang tersebut berbanding duit yang diperolehi daripada akaun simpanan.

Contohnya, katakan anda mempunyai RM6,000 dalam sebuah akaun simpanan dengan pulangan 2% setahun dan hutang kad kredit sebanyak RM3,000 dengan kadar faedah 18% setahun. Berapakah jumlah duit anda selepas lima tahun? Jawapannya adalah sifar – anda akan hilang kesemua simpanan dan masih lagi berhutang RM200 kerana hutang akan meningkat kepada RM6,800, manakala simpanan hanya bertambah sebanyak RM600.

Satu lagi pilihan adalah untuk melaburkan duit tersebut. Sekiranya produk pelaburan itu memberikan kadar faedah yang tinggi, anda boleh mengunakan keuntungan yang diperolehi untuk menjelaskan hutang sedia ada. Akan tetapi, ambil perhatian bahawa pelaburan mempunyai risikonya tersendiri dan anda mungkin mengalami kerugian. Ini bergantung kepada tahap risiko sesuatu produk pelaburan pilihan anda.

Walaupun memilih untuk melabur, matlamat utama anda masih lagi untuk menjelaskan hutang. Maka, hutang mana yang harus dijelaskan dahulu? Biasanya, hutang dengan kadar faedah yang paling tinggi seperti kad kredit, pinjaman peribadi dan pinjaman kereta harus dibayar dahulu. Biarkan pinjaman perumahan dan pinjaman pendidikan sebagai yang terakhir kerana pinjaman-pinjaman sebegini biasanya mempunyai kadar faedah yang lebih rendah dan dianggap sebagai “hutang yang baik”.

Langkah #3: Fokus pada Masa Depan

Setelah menjelaskan hutang-hutang yang penting, anda bolehlah kembali memberi perhatian kepada usaha untuk meningkatkan simpanan. Ketepikan sejumlah wang setiap bulan untuk dimasukkan ke dalam akaun simpanan anda (ini juga dikenali sebagai prinsip “bayar diri sendiri dahulu”). Jika majikan membenarkan pemotongan gaji bulanan secara automatik, ambil peluang itu agar anda tidak terlupa untuk memindahkan duit tersebut.

Setelah itu, inilah masanya untuk mula melihat kepada peluang membuat duit berkerja untuk anda iaitu dengan melaburkan duit yang ada. Anda boleh menggunakan sebahagian daripada wang simpanan untuk dilaburkan dan membantu menghasilkan pulangan. Produk pelaburan yang dipilih bergantung kepada objektif pelaburan dan toleransi risiko anda. Akhir sekali, sentiasa awasi pelaburan untuk memastikan ia sejajar dengan matlamat anda.

Dengan ketiga-tiga langkah yang telah disebutkan, anda kini tahu bagaimana untuk mula mencari keseimbangan antara menyimpan duit dan menjelaskan hutang. Ingatlah bahawa menyimpan duit, melabur dan menjelaskan hutang adalah perkara-perkara jangka panjang yang berkaitan dengan cara hidup anda dan komitmen-komitmen kewangan lain. Selalunya, anda perlu melakukan perubahan kepada cara hidup bagi mencapai keseimbangan di antara ketiga-tiga perkara tersebut dan ianya bukanlah suatu yang mudah. Akan tetapi, jika anda ingin mempunyai kedudukan kewangan yang stabil, mencari keseimbangan antara menyimpan duit dan menjelaskan hutang anda adalah kuncinya.

LANGKAH-LANGKAH MENGHADAPI KEMELESETAN EKONOMI

Krisis atau kegawatan ekonomi adalah perkataan yang sering kali kita dengar, sama ada di televisyen, radio dan juga akhbar. Pelbagai kesan krisis ini, sama ada di peringkat global ataupun tempatan yang telah kita ketahui. Bagaimana pula dengan pelaburan? Adakah kemelesetan ekonomi yang berlaku ini memberikan kesan kepada pelaburan anda. Dalam artikel ini, kita akan mengupas cara-cara yang boleh dilakukan untuk menghadapi situasi sukar seperti ini.

Bagaimana menghadapi krisis ini?

Ramai orang yang bertanya soalan ini atau soalan-soalan yang seumpamanya. Di sini, kami senaraikan antara langkah-langkah yang boleh diambil dan ianya berada dalam kawalan kita dalam menempuh kegawatan terbabit.

• Urus perbelanjaan anda dengan bijak

Sebagai permulaan, kaji semula perbelanjaan anda dan kenal pasti perbelanjaan tetap dan boleh ubah. Bagi perbelanjaan boleh ubah seperti makan di tempat kesukaan atau membeli belah, anda boleh mengurangkan atau mengehadkan kekerapannya dan apa yang diperlukan adalah sedikit disiplin dan perubahan kepada aktiviti sosial anda.

Bagaimana pula dengan perbelanjaan tetap? Ia adalah perbelanjaan yang tidak boleh dielak atau dikurangkan terus untuk disesuaikan dengan keadaan kewangan anda. Perkara yang selalunya dalam kategori ini melibatkan perbelanjaan besar seperti:

• Pembiayaan rumah, kenderaan atau pinjaman pendidikan
• Pembayaran insurans
• Bil-bil utiliti dan kontrak perkhidmatan seperti air, elektrik, telefon dan Internet.


Walaupun anda tidak boleh menghapuskan perbelanjaan sebegini, ada cara-cara yang boleh digunakan untuk mengurangkan perbelanjaan dalam kategori ini.

• Jadilah pengguna bijak!

Semasa kegawatan ekonomi, Kerajaan biasanya akan melaksanakan pakej rangsangan ekonomi seperti mengurangkan kadar faedah untuk menggalakkan orang ramai berbelanja. Anda boleh mendapat manfaat daripada pakej ini dengan mencari kadar yang lebih murah dan tawaran yang lebih baik untuk membiayai semula gadai janji yang ada. Terdapat pelbagai pakej yang ditawarkan oleh bank-bank perdagangan dan anda hanya perlu memilih tawaran yang terbaik, iaitu yang boleh menjimatkan kadar faedah yang dibayar. Langkah ini semestinya boleh menjimatkan wang anda dalam jangka masa panjang.

Begitu juga dengan perkara-perkara lain. Dalam suasana perniagaan yang lebih kompetitif, akan terdapat pelbagai promosi dan pakej istimewa di pasaran. Anda mesti pandai menyesuaikan diri untuk menjadi pengguna bijak. Jadikan tabiat mencari tawaran terbaik sebagai suatu amalan dan pastikan setiap ringgit yang dibelanjakan berbaloi.

• Kawal perbelanjaan anda

Ketika cuba mengurangkan kadar faedah yang dibayar dan memberi lebih nilai untuk wang, anda sepatutnya tidak lagi berbelanja dengan sewenang-wenangnya. Segala usaha anda dalam berjimat-cermat akan menjadi tidak berguna jika wang tunai berkurangan dan komitmen lain bertambah. Jadi, cuba kawal perbelanjaan anda. Ingat! Hanya berbelanja untuk keperluan dan tangguhkan apa yang boleh.

• Hadkan Penggunaan kad kredit

Jika anda gemar berbelanja menggunakan kad kredit tanpa sebarang rasa bersalah, sudah tiba masanya sifat tersebut dikikis. Dengan kebanjiran pelbagai jenis kad kredit di pasaran, sudah menjadi lumrah untuk seseorang memiliki banyak kad kredit. Kad kredit memang memberi kemudahan, namun ia boleh menyusahkan jika anda tidak berdisiplin apabila menggunakannya. Dengan kad kredit, anda sebenarnya berbelanja menggunakan duit yang anda tidak ada pada masa ini. Lagi banyak anda berbelanja dan berhutang dengan bank, lagi tinggi bayaran dikenakan selepas dicampur dengan bayaran kadar faedah dan caj-caj lain.

Oleh sebab itu, bagi menguruskan perbelanjaan anda dengan lebih baik, hadkan penggunaan kad kredit kepada satu atau dua kad sahaja serta sentiasa awasi baki bulanan yang ada. Elakkan hutang kad kredit anda daripada terus bertambah dan jika boleh, jelaskan kesemua hutang kad kredit setiap bulan.

Kegagalan untuk menyelesaikan hutang kad kredit boleh menyebabkan keadaan menjadi semakin buruk. Jika anda melihat kepada bilangan orang yang telah muflis di Malaysia, anda akan dapati jumlah tersebut agak membimbangkan, tambahan pula ramai daripadanya terdiri daripada golongan muda.

• Bina simpanan duit anda

Apabila anda telah mampu menguruskan wang, besar kemungkinan anda mempunyai lebihan wang tunai. Gunakan lebihan ini untuk membina simpanan. Simpanan ini hendaklah mampu bertahan selama 6 bulan untuk menanggung perbelanjaan kehidupan seharian. Jika anda diberhentikan kerja baru-baru ini, jangan gunakan pampasan tersebut untuk mengubah suai rumah atau membeli kereta baru. Ia adalah simpanan anda. Simpan untuk waktu-waktu kecemasan. Jika anda mempunyai lebihan daripada simpanan, anda boleh ke langkah seterusnya.

• Cari peluang-peluang pelaburan yang ada
“Inside of every problem lies an opportunity” - Robert Kiyosaki

Kebanyakan orang gagal untuk melihat peluang yang ada daripada sesuatu krisis. Sebenarnya, ketika waktu yang tidak menentu seperti inilah terdapat peluang-peluang yang baik dalam pelaburan, tidak kira dalam pasaran saham, hartanah atau produk pelaburan yang lain. Oleh itu, jika anda mempunyai lebihan wang, pelajari kaedah dan cari peluang-peluang pelaburan yang ada dengan mengambil kira tahap toleransi risiko anda.

Kesimpulannya, dalam keadaan krisis sebegini, anda perlu berhati-hati dengan keputusan pelaburan yang dibuat terutamanya apabila anda melabur dengan wang hasil titik peluh dan penat lelah anda. Dengan perancangan dan disiplin diri, anda mampu untuk mengharungi apa juga keadaan ekonomi.

SECURITIES INDUSTRY DEVELOPMENT CORPORATION (SIDC), peneraju bidang pendidikan, latihan dan sumber maklumat berkaitan pasaran modal di ASEAN, adalah cabang pendidikan dan pembangunan bagi Suruhanjaya Sekuriti, Malaysia. Ia ditubuhkan pada tahun 1994 dan diperbadankan pada 2007.
Sila layari laman web Pelabur Malaysia, www.min.com.my untuk mendapatkan panduan pelaburan bijak.

Perancangan Kewangan untuk Bakal Ibu bapa

Sama ada anda baru mendirikan rumah tangga ataupun telah lama berkahwin, kehadiran seorang cahaya mata pastinya sangat mengujakan. Berita tersebut sudah semestinya menggembirakan anda berdua, tetapi pada masa yang sama pelbagai persoalan turut bermain di fikiran. Kehidupan anda yang dahulunya dilalui berdua bakal melalui perubahan yang ketara.

Ketika menanti kehadiran si kecil, kebanyakan pasangan mengabaikan aspek perbelanjaan yang bakal mengiringi cahaya mata mereka. Hal-hal yang dahulunya tidak penting kini mula menjadi keutamaan, contohnya perbelanjaan untuk lampin, susu dan juga simpanan untuk pendidikan tinggi. Sekiranya anda mula membuat bajet dan pelan kewangan keluarga, besar kemungkinan tidak akan wujud banyak masalah berhubung pelbagai keperluan untuk anak yang bakal menyusul kelak.

Di akhir artikel ini, anda akan dapat mengenal pasti langkah-langkah yang perlu diambil untuk merancang kewangan berdasarkan keperluan terkini keluarga dengan mengambil kira kehadiran si kecil nanti.

Langkah-langkah mengurus kewangan keluarga anda

Langkah 1: Ketahui kedudukan kewangan anda

Setiap pasangan ibu bapa pasti setuju bahawa keperluan si kecil mengatasi segala aspek lain. Akan tetapi, jangan abaikan komitmen kewangan yang sedia ada seperti pembiayaan rumah, kereta dan sebagainya kerana ia juga sebahagian daripada tanggungjawab yang perlu dipenuhi. Apabila berbincang tentang perbelanjaan keluarga, anda perlu ingat bahawa perbelanjaan yang akan datang bukan sahaja untuk keperluan bayi seperti baju dan lampin, tetapi juga untuk keperluan ibu sebelum dan selepas bersalin.

Langkah 2: Buat senarai semak

Senarai semak banyak membantu ketika membuat perancangan kewangan. Anda dan pasangan seharusnya menyenaraikan barangan atau perkhidmatan yang anda rasa perlu mengikut kategori, seperti peralatan untuk perjalanan jauh, perabot bayi, perkakas mandian, pemakanan bayi dan lain-lain. Dengan menyenaraikannya mengikut kategori, anda dapat mengenal pasti sekiranya terdapat barang keperluan lain yang masih belum disenaraikan. Jangan lupa untuk memasukkan satu kategori, bagi keperluan kecemasan, contohnya apabila isteri terpaksa menjalani pembedahan bagi melahirkan anak atau lain-lain keperluan perubatan yang mungkin terlibat.

Langkah 3: Buat perbandingan harga barangan

Ketika membeli-belah berdasarkan senarai semak anda, jangan terlalu gopoh dengan terus membeli barang pertama yang anda lihat. Luangkan sedikit masa untuk membandingkan harga jenama-jenama yang berbeza dan pastikan anda mencatat harga barangan tersebut dalam senarai semak anda. Jangan terpengaruh dengan jenama terkenal. Selalunya, anda boleh membeli barang yang sama kualitinya setanding dengan barangan berjenama, tetapi pada harga yang lebih rendah. Di samping itu, jangan malu untuk bertanya kepada jurujual tentang kegunaan barangan-barangan bayi yang dibeli. Kadangkala, barangan yang anda rasa perlu dibeli sebaik sahaja bayi dilahirkan sebenarnya hanya diperlukan apabila bayi anda lebih besar kelak.

Langkah 4: Beli apa yang perlu sahaja

Setelah selesai membandingkan harga dan barangan yang diperlukan, lihat kembali senarai semak anda. Bezakan antara barangan yang betul-betul mustahak untuk menyambut ketibaan bayi dan apa pula barangan yang boleh ditangguhkan pembeliannya pada kemudian hari. Pada masa yang sama, keluarkan senarai barang yang tidak perlu daripada senarai semak dan tandakan barangan yang boleh ditangguhkan (KIV).

Langkah 5: Buat senarai permintaan (wish list)

Selalunya, ahli keluarga dan sahabat handai gemar membelikan hadiah untuk si kecil. Ada kalanya, disebabkan terlalu banyak barangan bayi yang terdapat di pasaran, mereka kurang pasti apa yang harus dibeli dan akhirnya membeli barangan seperti permainan atau lain-lain yang tidak begitu diperlukan. Oleh itu, buatlah satu senarai permintaan (wish list) untuk barangan yang anda mahu, bersama dengan harga dan tempat pembelian. Kemudian, sebarkan senarai tersebut melalui emel, blog-blog ataupun rangkaian-rangkaian sosial yang lain agar sahabat-handai anda boleh menghadiahkan barangan tersebut kepada anda.

Pada peringkat ini, anda mungkin sudah mengetahi cara-cara berhadapan dengan isu-isu kewangan yang bakal dihadapi. Jangan lupa tentang perbelanjaan akan datang yang perlu ditanggung seperti pemeriksaan bulanan bayi, pusat asuhan atau penjagaan bayi. Anda juga sepatutnya mula memikirkan tentang pilihan pelaburan bagi simpanan pendidikan anak anda. Dengan memulakan simpanan pendidikan, anda bukan sahaja menjamin masa depan si kecil, malahan masa depan sendiri juga.

Dengan mengaplikasikan langkah-langkah di atas, adalah diharapkan anda dapat melalui pengalaman indah sebagai ibu dan bapa tanpa perlu risau tentang masalah-masalah kewangan yang mungkin menimpa. Menimang cahaya mata sudah semestinya satu pengalaman yang sangat manis. Rancang kewangan dari sekarang agar kelahiran si kecil memberikan lebih makna kepada kehidupan anda.

Menabung Untuk Membeli Rumah Idaman

Memiliki rumah sendiri merupakan impian setiap individu dan ia lazimnya pelaburan yang paling mahal bagi seseorang itu sepanjang hidupnya. Namun, keputusan membeli sebuah rumah boleh menimbulkan pelbagai implikasi kewangan sebaik sahaja anda memberikan komitmen untuk membeli rumah tersebut. Bayaran balik pinjaman perumahan akan menjadi perbelanjaan yang paling besar buat anda setiap bulan untuk jangka masa yang panjang.

Oleh itu, anda perlu membuat perancangan yang teliti dengan menentukan jumlah wang yang boleh digunakan untuk membeli rumah idaman. Di akhir artikel ini, anda akan dapat menentukan jumlah wang yang mampu diperuntukkan bagi membeli sebuah rumah idaman.

Berikut adalah 3 soalan penting yang perlu dipertimbangkan sebelum melaburkan wang dalam rumah idaman anda:

1) Berapa banyakkah wang yang mampu anda keluarkan daripada simpanan untuk membiayai bayaran pendahuluan dan kos sampingan pembelian sebuah rumah?
Bayaran pendahuluan ialah wang yang perlu dibayar untuk memastikan anda dapat menjadi pemilik sesebuah rumah yang diidamkan. Lebih tinggi bayaran pendahuluan, maka semakin kecil amaun yang perlu dibayar setiap bulan kepada pihak bank untuk menyelesaikan pinjaman perumahan anda. Selain itu, kadar bunga yang dikenakan juga lebih rendah. Selain itu, kadar bunga yang dikenakan juga lebih rendah. Lazimnya, wang pendahuluan yang sepatutnya dibayar adalah di antara 5-20% harga jualan rumah tersebut. Walau bagaimanapun, jangan lupa yang anda juga perlu menyediakan wang yang secukupnya untuk yuran guaman, duti setem, insuran dan juga kos pengubahsuaian rumah apabila kunci rumah diserahkan kelak.

Berdasarkan aset asas anda, tetapkan jumlah yang mampu dikeluarkan untuk membeli rumah anda. Di sini, anda dinasihatkan untuk sekurang-kurangnya menyimpan wang yang sama banyak dengan perbelanjaan bulanan anda selama 4-6 bulan sebagai simpanan kecemasan. Pastikan anda tidak mengusik wang yang disimpan untuk persaraan anda kelak, lebih-lebih lagi jika anda kini di peringkat pertengahan umur.


2) Berapa banyak wang yang anda boleh keluarkan daripada pendapatan bulanan untuk meningkatkan kadar simpanan atau untuk membayar pinjaman perumahan anda?
Jika anda sudahpun mempertimbangkan soalan (1) dan mendapati wang yang ada dalam tangan tidak mencukupi, langkah seterusnya ialah untuk meningkatkan kadar simpanan anda. Anda boleh cuba untuk membuka satu akaun simpanan khas untuk pembelian rumah. Pastikan anda memperuntukkan peratusan yang tetap daripada gaji anda untuk disimpan dalam akaun tersebut setiap bulan. Kaji dengan terperinci perbelanjaan anda, dan cuba kurangkan perbelanjaan untuk perkara yang tidak perlu seperti barangan mewah, hiburan dan percutian.

Anda juga perlu tahu jumlah yang mampu dibayar untuk pinjaman perumahan anda. Lazimnya, bayaran untuk pinjaman perumahan tidak seharusnya melebihi 30% daripada gaji kasar anda. Selain itu, pastikan wang anda mencukupi untuk membayar perbelanjaan lain seperti yuran penyelenggaraan, bil-bil air, elektrik dan sebagainya. Cara terbaik untuk mengawal perbelanjaan anda ialah dengan membuat bajet dan mendisiplinkan diri anda untuk mengikut bajet yang telah anda sediakan.

3) Berapa banyak wang yang boleh dikeluarkan daripada Akaun II KWSP untuk membiayai kos rumah anda?
Periksalah akaun KWSP II anda untuk mengetahui amaun yang boleh dikeluarkan untuk pembayaran rumah anda. Ini penting kerana ia dapat meringankan beban pembiayaan rumah yang dibeli. Mengikut laman web KWSP, amaun yang layak dikeluarkan pencarum KWSP adalah seperti berikut:

* Pembelian Individu: Perbezaan di antara harga rumah dengan jumlah pinjaman dan tambahan 10% daripada harga rumah ATAU semua simpanan dalam Akaun II, mengikut mana yang lebih rendah;
* Pengeluaran Bersama Suami/Isteri, Ahli Keluarga, atau Individu Yang Lain: Perbezaan di antara harga rumah dengan jumlah pinjaman dan tambahan 10% daripada harga rumah ATAU semua simpanan dalam Akaun II bagi semua pemohon tertakluk kepada amaun maksima yang layak dikeluarkan. Jika anda memperolehi pinjaman penuh (100%), anda layak mengeluarkan 10% daripada harga rumah ATAU semua simpanan dalam Akaun II, mengikut mana yang lebih rendah

Untuk maklumat lanjut, layari laman web KWSP di http://www.kwsp.gov.my/ ataupun hubungi mana-mana pejabat KWSP terdekat.

Sesudah mengira kesemua sumber kewangan yang ada berdasarkan soalan-soalan di atas, anda kini sudah bersedia untuk memulakan pencarian rumah baru anda. Membeli sebuah rumah merupakan satu peristiwa yang sangat penting bagi kebanyakan daripada kita. Oleh itu pastikan anda mengambil masa yang secukupnya dalam mencari rumah yang anda idam-idamkan, iaitu sebuah rumah yang menepati kehendak anda serta mampu dimiliki. Jangan terburu-buru dalam membuat pilihan, terutama sekali sewaktu ekonomi berada di paras yang tinggi dan menyebabkan pasaran hartanah melonjak naik. Jika anda membeli rumah pada waktu tersebut, besar kemungkinan anda akan kecewa sekiranya harga rumah yang dibeli turun pada paras yang lebih rendah.

Dalam masa yang sama, anda juga bolehlah mula meninjau pakej pinjaman perumahan yang terbaik. Sekarang ini, terdapat saingan sengit dikalangan bank-bank di mana terdapat pelbagai pakej pinjaman ditawarkan. Namun begitu, sesetengah kontrak pinjaman agak sukar difahami dan mengelirukan. Oleh itu, pastikan anda meneliti kesemua syarat-syarat dan terma-terma pakej pinjaman perumahan yang ditawarkan. Membuat pilihan yang tepat, dengan mengambil kira kadar faedah yang dikenakan dan sebagainya, boleh menjimatkan sejumlah wang yang besar untuk anda. Membeli rumah idaman bukan sahaja menimbulkan rasa puas hati dalam diri, malah ia boleh membawa keuntungan dalam jangka masa panjang sekiranya anda membuat pilihan yang tepat dan merancang pembelian daripada mula lagi.

Strategi Pelaburan Mana Pilihan Anda?

Strategi dan perancangan adalah aspek yang sangat penting dalam menentukan kejayaan suatu usaha yang kita lakukan. Tanpa strategi, kita akan hilang pedoman dan tidak mempunyai hala tuju yang jelas. Contohnya, dalam permainan bola sepak, setiap pasukan mempunyai strategi masing-masing bagi membolehkan mereka mengatasi strategi pihak lawan. Begitu juga halnya dengan pelaburan - strategi dan perancangan adalah elemen penting yang harus diberi perhatian sekiranya kita ingin menjadi pelabur yang berjaya.

Jika anda tertanya-tanya kenapa pakar kewangan berupaya mengekalkan prestasi portfolio pelaburan mereka, ini adalah kerana mereka percaya kepada strategi yang digunakan dan berpegang teguh kepada strategi tersebut. Dalam artikel kali ini, kami akan menghuraikan strategi-strategi yang biasanya diguna pakai dalam pelaburan.

Secara umumnya, terdapat tiga jenis strategi pelaburan iaitu:

1) Strategi pelaburan pertumbuhan
2) Strategi pelaburan nilai
3) Strategi pelaburan berorientasikan pasaran

Anda boleh memilih mana-mana strategi ini asalkan ia sesuai dengan matlamat pelaburan, pulangan yang diharapkan dan juga tahap risiko yang mampu ditanggung.


1) Strategi Pelaburan Pertumbuhan

Sekiranya anda memilih strategi ini, maka anda perlu memilih syarikat yang mempunyai kadar pertumbuhan yang lebih tinggi berbanding dengan purata industri. Anda perlu memberikan perhatian kepada perolehan syarikat, dimana anda mengharapkan potensi pertumbuhan perolehan yang tinggi akan menaikkan harga saham syarikat tersebut. Selalunya, saham dalam industri yang berkembang, contohnya teknologi, penjagaan kesihatan dan produk pengguna menjadi pilihan utama pelabur pertumbuhan. Saham seperti ini didagangkan pada nisbah harga perolehan yang lebih tinggi. Ini kerana para pelabur sanggup membeli saham pada harga premium dengan harapan harga saham akan naik apabila syarikat-syarikat tersebut menunjukkan prospek pertumbuhan yang baik.

Namun, jika anda memilih strategi ini, anda mungkin menghadapi risiko dimana pertumbuhan yang dijangkakan tidak menjadi kenyataan. Ini mungkin disebabkan beberapa faktor seperti tamatnya hakcipta produk atau berlaku perubahan teknologi. Oleh itu, kajian yang teliti perlu dilaksanakan untuk memastikan bahawa potensi pertumbuhan saham yang dipilih boleh menjadi kenyataan dan dikekalkan. Peter Lynch, seorang pakar kewangan yang mengamalkan strategi ini pernah memberi amaran kepada para pelabur bahawa mereka perlu ‘mengelakkan saham yang paling mendapat tumpuan dalam industri yang paling mendapat tumpuan’ (avoid the hottest stocks in the hottest industry’). Maka, anda perlu peka dan sentiasa bersedia untuk menilai semula pegangan saham anda jika terdapat perubahan kepada faktor-faktor pertumbuhan.


2) Strategi Pelaburan Nilai

Strategi ini menjadi ikutan ramai pelabur terkenal seperti Benjamin Graham dan Warren Buffet. Fokus utama strategi ini ialah mencari saham terkurang nilai (undervalued stock) di pasaran semasa, yang didagangkan pada harga yang lebih rendah berbanding nilai sebenar atau nilai intrinsiknya. Menurut Warren Buffet, nilai intrinsik sesuatu syarikat ialah “nilai terdiskaun tunai (the discounted value of cash) yang boleh dikeluarkan daripada perniagaan syarikat sepanjang baki tempoh hayatnya’. Dengan melabur dalam saham murah, margin keselamatan (perbezaan antara nilai intrinsik dengan harga pasaran sesuatu saham) anda juga lebih kukuh di mana risiko penurunan dapat dikurangkan memandangkan nilai syarikat itu adalah lebih tinggi berbanding harga yang telah anda bayar. Saham yang menjadi sasaran pelabur dalam kategori ini ialah saham yang mempunyai nisbah harga perolehan rendah(low P/E ratios).

Kelemahan utama strategi ini ialah risiko yang terdapat pada saham dengan nisbah harga perolehan rendah. Ini kerana, mungkin ada sebab kukuh mengapa harga saham tersebut rendah. Oleh itu, pastikan anda menganalisa dengan teliti syarikat tersebut untuk memastikan bahawa sebarang masalah yang mungkin dihadapi mengenai perniagaan dan prospek perolehan hanyalah sementara dan mampu ditangani oleh syarikat tersebut. Selain itu, anda juga perlu mengambil kira tempoh masa yang diperlukan untuk harga saham tersebut naik semula.

3) Strategi pelaburan berorientasikan pasaran

Pelaburan berorientasikan pasaran ialah strategi pelaburan yang paling popular di kalangan pelabur. Strategi ini juga dikenali sebagai ‘pelaburan momentum’, kerana ia berdasarkan pola carta harga (price chart pattern) ataupun minat pembelian sesuatu saham, mengikut arah aliran pasaran. Para pelabur dalam kategori ini akan membeli bila pasaran naik dan menjual sebaik sahaja pasaran mula turun. Fokus utama para pelabur ini ialah saham-saham yang paling mendapat tumpuan di pasaran.

Diantara ketiga-tiga strategi di atas, strategi berorientasikan pasaran dianggap paling berisiko kerana jika timbul masalah yang paling kecil pun, ia akan mendorong kepada jualan sesuatu saham secara besar-besaran. Ini seterusnya menyebabkan harga saham tersebut akan terus merudum. Dengan strategi pelaburan ini, risikonya tinggi kerana anda mungkin mengalami kerugian yang besar sekiranya menjual pada harga yang rendah ataupun terpaksa terus memegang saham yang mempunyai asas yang lemah apabila gagal menjual ketika harga saham tersebut menjunam. Jika anda ingin mencuba strategi ini, pastikan anda sentiasa peka tentang apa yang berlaku di pasaran dan mampu bertindak dengan pantas.

Kebanyakan pakar kewangan akan menasihatkan anda agar tidak mengikut corak pelaburan orang ramai. Oleh itu, jika anda masih lagi baru dalam pasaran saham, mengguna pakai strategi yang pertama dan kedua adalah kurang berisiko dan mungkin lebih sesuai untuk anda. Walau apa jua strategi yang dipilih, jangan lupa untuk membuat kajian yang mendalam mengenai syarikat yang anda ingin melabur. Disamping itu, pastikan anda berdisiplin dalam melaksanakan strategi yang telah ditetapkan untuk mencapai matlamat pelaburan anda.

Artikel ini ditulis oleh SIDC dan En. Ooi Kok Hwa, pemegang Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal untuk menjalankan urusan nasihat pelaburan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat yang terkandung di dalam atikel ini ialah untuk tujuan pendidikan semata-mata dan tidak boleh dianggap sebagai pengganti untuk nasihat perundangan atau mana-mana nasihat profesional yang lain.

Persediaan Kewangan Sebelum Bersara

Mahu atau tidak, kita semua akan bersara satu hari nanti. Tetapi adakah anda telah bersedia daripada segi kewangan untuk bersara? Kebanyakan orang bergantung sepenuhnya kepada faedah persaraan (retirement benefits) yang diperolehi untuk menampung hidup selepas bersara. Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia 2007, jangka hayat penduduk Malaysia dianggarkan selama 76.4 tahun untuk perempuan manakala 71.9 tahun untuk lelaki. Oleh sebab jangka hayat manusia yang semakin meningkat, persoalan yang mungkin timbul ialah adakah wang yang dikumpulkan untuk tujuan persaraan atau pencen mencukupi untuk menampung tahap kualiti kehidupan yang diinginkan, ditambah pula dengan meningkatnya kos perubatan serta sara hidup. Oleh itu, sama ada anda bercadang untuk bersara pada usia 55 atau lebih awal lagi, apa yang penting adalah lengkapkan diri anda dengan perancangan kewangan yang dapat menjamin kehidupan yang memuaskan serta bebas dari bebanan hutang setelah bersara.

Bagaimana untuk menyiapkan diri untuk bersara?

Soalan ini kerap bermain di fikiran orang ramai apabila membincangkan isu persaraan. Namun, tiada jawapan yang khusus untuk soalan ini kerana ianya banyak bergantung kepada gaya hidup yang diinginkan, tahap kesihatan dan juga keadaan seseorang itu selepas bersara. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil untuk menyiapkan diri anda dari segi kewangan sebelum bersara:

Langkah1: Tetapkan keperluan kewangan anda

Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah menilai keperluan kewangan anda. Setelah bersara, perbelanjaan seperti pakaian ke pejabat, kos pengangkutan/perjalanan ke tempat kerja, makanan dan sebagainya sudah tiada lagi. Walau bagaimanapun, perbelanjaan lain, contohnya kos perubatan, insuran dan lain-lain lagi mungkin akan meningkat. Secara amnya, keperluan perbelanjaan seorang pesara itu dianggarkan dalam lingkungan 75% hingga 80% keperluannya ketika masih bekerja.

Berdasarkan keperluan ini, anda perlu membuat penyelarasan yang sesuai dengan mengambil kira situasi unik anda seperti kos pendidikan anak-anak dan pembayaran pinjaman perumahan untuk menganggarkan perbelanjaan bulanan yang perlu ditampung. Selain perbelanjaan tetap yang dikenakan, anda juga perlu mengambil kira jika terdapat kemungkinan yang gaya hidup anda akan berubah. Jika anda berhajat untuk mengembara, bercuti, ataupun mempunyai hobi-hobi lain yang melibatkan wang, anda perlu mengambil kira kos-kos ini ketika membuat perancangan persaraan.

Langkah 2: Menilai status semasa

Setelah menetapkan keperluan kewangan, langkah seterusnya ialah menilai kedudukan kewangan semasa dan membuat pelan untuk menampung keperluan persaraan kelak. Di sini, anda perlu memberi perhatian kepada portfolio pelaburan yang merangkumi simpanan tambahan serta pendapatan anda. Senaraikan juga kesemua komitmen kewangan yang perlu dijelaskan. Sekiranya anda masih bekerja, anggarkan jumlah wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau pencen yang bakal anda terima.

Langkah 3: Mengira wang yang diperlukan
Setelah selesai mengumpulkan kesemua maklumat di atas, anda boleh mendapatkan nasihat daripada perancang kewangan ataupun mana-mana laman web yang menyiarkan artikel-artikel mengenai perancangan persaraan yang boleh anda contohi dalam usaha untuk menyiapkan diri daripada segi kewangan sebelum bersara. Ini penting untuk menilai sama ada wang anda sekarang mencukupi atau tidak untuk memenuhi keperluan persaraan kelak. Jika jawapannya tidak, sekurang-kurangnya, anda boleh mengira berapa banyak lagi wang yang diperlukan. Sebagai contoh, keperluan tahunan Ali ialah RM50,000 (lebih kurang RM4,000 sebulan). Dia menganggarkan bahawa wang simpanan persaraannya akan menjana pulangan sebanyak 7% setiap tahun. Oleh itu, Ali memerlukan sekurang-kurangnya RM714,286 (RM50,000/0.07) dalam simpanannya untuk menampung perbelanjaan persaraannya.

Langkah 4: Berdisiplin dalam Merancang Kewangan
Untuk mengekalkan kuasa beli wang anda, pastikan ia berkembang sekurang-kurangnya pada kadar yang sama dengan kadar inflasi untuk mengimbangi kesan negatif inflasi. Ini berdasarkan kepada andaian bahawa anda ingin mengekalkan wang simpanan persaraan sepanjang hidup dan menyimpan amaun prinsipal untuk anak-anak anda. Sebaliknya, jika anda tidak keberatan untuk membelanjakan wang persaraan anda, jumlah wang yang diperlukan pastinya lebih kecil. Namun, dalam masa yang sama, berhati-hati dalam merancang kewangan anda. Elakkan daripada membuat pengeluaran wang sewenang-wenangnya dan pastikan ianya mencukupi untuk menampung perbelanjaan sehingga akhir hayat anda.

Disamping itu juga, anda mungkin mahu mengambilkira kesan kuasa pengkompaunan kerana lebih awal anda memulakan pelan simpanan persaraan, maka lebih mudahlah anda mencapai matlamat kewangan yang ditetapkan. Setelah menetapkan jumlah wang yang diperlukan, langkah seterusnya ialah untuk memberikan komitmen penuh kepada jumlah yang hendak disimpan dan menguruskan portfolio pelaburan anda dengan cara yang sepatutnya. Semakin hampir kepada umur persaraan, maka semakin rendahlah risiko yang perlu diambil. Oleh itu, elakkan daripada mengambil risiko yang tinggi hanya kerana anda kini dalam peringkat pertengahan umur dan baru mula untuk merancang wang yang diperlukan. Jika anda mengalami situasi ini, dapatkan nasihat profesional yang berlesen. Akhir kata, berbelanjalah mengikut keperluan dan cuba maksimumkan simpanan anda untuk waktu persaraan.

Apa tunggu lagi? Mulakan pelan persaraan anda sekarang!





Artikel ini ditulis oleh SIDC dan En. Ooi Kok Hwa, pemegang Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal untuk menjalankan urusan nasihat pelaburan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat yang terkandung di dalam atikel ini ialah untuk tujuan pendidikan semata-mata dan tidak boleh dianggap sebagai pengganti untuk nasihat perundangan atau mana-mana nasihat profesional yang lain.

Empat Fakta Asas mengenai Indeks Pasaran Saham yang Harus Anda Ketahui

Dalam bahagian perniagaan sesuatu akhbar, anda pasti akan menyedari terdapat beberapa muka surat mengenai Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI). Tahukah anda apakah yang dimaksudkan dengan indeks tersebut? Secara amnya, indeks ini digunakan oleh pelabur untuk mengukur prestasi keseluruhan pasaran saham di Malaysia. Namun, ramai orang sebenarnya tidak benar-benar memahami apa itu indeks pasaran saham serta bagaimana ia dikira. Jangan bimbang kerana setelah selesai membaca artikel ini, anda akan berupaya:
• mengenal pasti ciri-ciri indeks pasaran saham
• mengenal pasti cara menghitung indeks pasaran saham, dan
• menyedari bagaimana indeks pasaran saham boleh mempengaruhi keputusan pelaburan anda.

1) Apakah indeks pasaran saham?
Indeks pasaran saham ialah nombor yang dikira berdasarkan harga kumpulan saham tertentu untuk sesuatu pasaran. Indeks ini biasanya akan mempunyai ciri-ciri yang berikut:
• Boleh dilabur – saham yang diambil kira dalam pengiraan indeks adalah apungan bebas (free float) yang diwajarkan untuk mewakili saham yang boleh dilabur secara tepat. Ini bermakna saham yang dipegang oleh pengarah dan keluarga pengasas, kerajaan, pegangan saham bersilang dari syarikat berkaitan dan pegangan yang tertakluk kepada klausa tertutup adalah dikecualikan. Elemen “boleh dilabur” ini sangat penting terutamanya dalam indeks yang mengikut teknik wajaran permodalan pasaran.
• Boleh didagang – memastikan kecairan yang mencukupi untuk memudahkan dagangan kesemua saham dalam indeks; dan
• Telus – peraturan-peraturan asas yang jelas akan memastikan ketelusan dan memudahkan pemahaman mengenai bagaimana indeks diuruskan.

Apabila indeks itu mempunyai asas yang luas dan mewakili ekonomi negara dan prestasi keseluruhan pasaran saham (contohnya FBM KLCI, Indeks Dow Jones Industrials Amerika Syarikat atau Nikkei 225 Jepun), syarikat yang termasuk dalam pengiraan indeks biasanya adalah penggerak utama pasaran yang disenaraikan di pasaran saham. Ia juga mempunyai hubungan yang erat dengan pembangunan ekonomi negara tersebut. Terdapat juga indeks yang skopnya lebih terhad, seperti indeks yang mewakili sektor atau industri tertentu.

2) Bagaimanakah indeks pasaran saham dikira?
Terdapat tiga jenis indeks pasaran, berdasarkan kaedah wajaran yang digunakan dalam menentukan nilai indeks saham iaitu: wajaran harga, wajaran permodalan pasaran dan wajaran bahagian saham:

Indeks

Indeks wajaran harga

Indeks wajaran permodalan pasaran

Indeks wajaran sama

Keterangan

Mengambil kira purata harga syarikat dalam indeks

Mempertimbangkan jumlah nilaipasaran syarikat dalam indeks

Semua pulangan saham diberikan wajaran yang sama

Bagaimana ia dikira

(Tambahkan kesemua harga pasaran semua saham dalam indeks)

÷

(Jumlah bilangan saham dalam indeks)

(Jumlah harga saham terkini)

×

( Jumlah saham yang belum dijelaskan dalam indeks)

Dikira dengan dolar pelaburan yang sama setiap saham dalam indeks

Ciri-ciri

Sensitif kepada pergerakan harga saham yang besar, tanpa mengira saiz syarikat

Perubahan kecil dalam harga saham syarikat besar akan membawa kesan yang ketara kepada nilai indeks

Biasanya mempunyai kadar pusing ganti saham yang lebih tinggi berbanding indeks wajaran permodalan pasaran dan oleh itu, mempunyai kos jual beli yang lebih tinggi

Contoh

Indeks Dow Jones Industrials dan Nikei 225 Jepun

Bursa Malaysia

Purata Garisan Nilai Komposit Amerika Syarikat


3) Apakah kegunaan indeks?
Indeks pasaran saham biasanya digunakan sebagai petunjuk ekonomi untuk pelabur mengukur pembangunan ekonomi secara keseluruhan dan prestasi pasaran. Selain itu, pengurus dana dan pelabur yang bercadangmenguruskan portfolio pelaburan mengikut prestasi pasaran akan memilih indeks pasaran yang sesuai sebagai petanda aras portfolio pelaburan mereka. Indeks pasaran saham juga digunakan sebagai instrumen pendasar dalam dana tukaran dagangan (ETF), indeks dana unit amanah atau terbitan ekuiti seperti ekuiti niaga hadapan dan pertukaran (swaps).

4) Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI)

Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) terdiri daripada 30 syarikat terbesar yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia, mengikut permodalan pasaran dan memenuhi syarat kelayakan mengikut peraturan-peraturan asas yang ditakrifkan FTSE Bursa Malaysia. Indeks ini dikira berdasarkan formula wajaran nilai dan diselaraskan oleh faktor apungan bebas dengan menggunakan jam masa nyata (real time) dan harga dari Bursa Malaysia. Nilai Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia dikira dan dikemas kini setiap 15 saat. Kesinambungan nilai KLCI juga mengekalkan pergerakan terdahulu pasaran saham Malaysia.

Kesimpulan
Jika anda melabur buat kali pertama, pengiraan indeks merupakan salah satu cara untuk mula mempelajari tentang pasaran saham. Pengetahuan tentang pengiraan indeks pasaran saham akan membantu anda menganalisa dan mengikuti pergerakan pasaran saham dengan cepat dari hari ke hari, bulan ke bulan atau tahun ke tahun. Pengetahuan mendalam tentang pengiraan pasaran saham juga akan membantu anda meramal pergerakan yang mungkin terjadi dalam pasaran saham tanpa perlu bergantung kepada spekulasi atau tekaan. Ini kemudiannya akan membolehkan anda membuat keputusan pasaran saham yang cepat dan efektif termasuk dalam menentukan masa yang sesuai untuk menjual, membeli atau terus memegang saham.

© Securities Industry Development Corporation 2010. Untuk mendapatkan panduan pelaburan bijak, layari laman web Pelabur Malaysia (http://www.min.com.my/).
Jika anda berminat berkongsi, menerbit atau mengedar semula artikel ini, sila emel min@min.com.myAlamat email ini dilindungi dari Spambot. Perlukan JavaScript untuk melihatnya .

*Nota: Artikel ini ditulis oleh En. Ooi Kok Hwa, pemegang Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal untuk menjalankan urusan nasihat pelaburan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini ialah untuk tujuan pendidikan semata-mata dan mencerminkan keadaan pasaran pada sesuatu masa tertentu yang mungkin berlalu dan menyebabkan artikel ini tidak lagi relevan. Artikel ini tidak semestinya mewakili pendapat Securities Industry Development Corporation dan tidak boleh dianggap sebagai pengganti untuk nasihat perundangan atau mana-mana nasihat profesional yang lain.