Wednesday, August 17, 2011

Elak Pembaziran di Ramadhan ini

(http://almuslimah.com.my/2011/07/elak-pembaziran-di-ramadhan-ini/)

Pembaziran adalah satu perbuatan yang dilarang pada bila-bila masa sahaja, terutama pada bulan Ramadhan. Ini kerana bulan Ramadhan adalah bulan untuk beribadat dan menjauhkan diri daripada perkara yang tidak disukai oleh Allah. Jadi mahukah kita sekiranya pahala kita dikurangkan setelah sehari suntuk menahan diri dari makan dan minum semata-mata untuk memuaskan selera nafsu kebendaan semata-mata? Sudah tentu ianya tidak berbaloi dan merugikan sahaja.



Larangan mengenai pembaziran telah dijelaskan oleh Allah SWT di dalam surah al-Isra’ ayat 26 dan 27:

“Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhan-Nya”.

Ruang untuk melakukan pembaziran pada bulan Ramadhan terbuka luas jika tidak dibendung dengan sifat bersederhana. Pembaziran boleh berlaku dalam bentuk penyediaan juadah untuk berbuka . Tidak kurang juga banyak bazar Ramadhan yang dibuka sepanjang Ramadhan dengan menjual berbagai jenis makanan yang sudah tentu akan menarik selera dan memukau perhatian sesiapa sahaja. Penyediaan juadah yang beraneka jenis dalam kuantiti yang banyak serta melebihi had ini sudah tentu tidak mampu dihabiskan sehingga wujud pembaziran

Selain penyediaan juadah untuk berbuka, penyediaan untuk menyambut Syawal juga perlu dielakkan daripada membazir. Ramai di kalangan kita hari ini begitu asyik dengan persiapan menyambut Syawal dengan pembelian perabot yang baru serta langsir yang baru yang kadang-kadang tidak perlu, semata-mata untuk digantikan dengan yang lama dan sebagainya. Bahkan lebih memburukkan lagi jika ada unsur menunjuk-nunjuk. Ia jelas bertentangan dengan ruh Ramadhan.



Walaupun perbelanjaan amat diperlukan untuk berbuka dan berhari raya, tetapi kita juga perlu berbalik kepada pengertian puasa iaitu menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa. Menahan diri di sini termasuk juga menahan diri daripada godaan hawa nafsu dalam berbelanja sehingga sampai ke tahap membazir dan boros.

Seseorang itu perlu untuk berbelanja sekadar diukur dengan kemampuan sebenar sahaja walaupun kemampuannya untuk berbelanja melebihi keperluan sebenar. Sebaik-baiknya ialah berbelanja secara sederhana sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Furqan ayat 67 yang bermaksud: “Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) Perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil ) itu”.

Tidak terfikirkah kita, ramai lagi di luar sana masih memerlukan bantuan kita. Mereka tidak meminta perabot baru, langsir baru dan sebagainya, yang diharapkan hanyalah sedikit huluran belas kasihan sesama insan bagi meneruskan kehidupan. Alangkah baiknya jika wang yang kita belanjakan kepada perkara-perkara yang tidak penting itu dihulurkan kepada yang lebih memerlukan. Sabda Rasulullah s.a.w dalam hadisnya yang masyhur, “Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang dibawah”.

Sesungguhnya tangan yang menghulur lebih baik daripada yang menerima. Dan huluran yang diberikan dengan penuh keikhlasan dan keimanan, insya-Allah akan dilipatgandakan lagi oleh Allah SWT akan pahala dan rezeki mereka lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan. Namun perlu diingat, bahawa setiap perlakuan yang menyalahi syariat seperti membazir juga akan mendapat kemurkaan yang besar daripada Allah SWT.

Wednesday, November 3, 2010

Bayar Diri Anda dulu?

Anda pernah dengar satu tips kewangan yang
glemer iaitu..

"Pay yourself First"

Bayar diri anda terlebih dahulu. Saya ingat semua
orang faham rupanya tak.. Aduhh. Nak dijadikan
cerita, semalam ada sahabat saya beli digital camera,
jadi saya melawak dengan dia, "Amboi banyak duit!"

Lalu dia jawab,

"Ni lah konsep 'pay yourself first', kita kena hargai
diri kita. Gaji kita untuk keseronokan kita, sibuk
keje je.." sambil tersenyum

Saya kira dia melawak dengan saya, tapi statement
tersebut buat saya terfikir, mungkin ada yang salah
faham kata-kata 'pay yourself first'

Konsepnya begini, ianya bermaksud simpan terlebih dahulu
sebelum guna. Contohnya apabila gaji anda masuk
di awal bulan, cepat-cepat keluarkan bahagian
untuk anda simpan. Keluarkan sebaik sahaja gaji masuk.

Ada pula yang berfikir macam ni pula;

- saya simpan nanti lah di hujung bulan, ada baki,
saya simpan..

Itu bukan konsepnya, banyak mana anda nak simpan? Komfem
anda akan guna nanti atau 'terguna'. Saya pernah
buat plan kewangan untuk beberapa orang teman, mmg
tak jalan kalau saving hujung bulan. Kena cepat2
simpan bila gaji masuk. Itu disiplin yang anda kena
anda.

CARANYA?

Asingkan duit tersebut. Anda kenal AZIZI ALI? Dia
pernah cadang supaya buka akaun baru khas untuk
saving tersebut supaya anda tak sentuh. Saya setuju
dengan cadangan beliau, sebab tu beliau jutawan!

Tapi cara idealnya begini, simpan di tempat yang anda
tak boleh sentuh dan duitnya bertambah. Instead of
buka akaun simpanan khusus yang baru, anda boleh;

- unit trust
- tabung haji
- ASB
- unit amanah yang lain

Konsepnya.. PAY YOURSELF FIRST! Jangan sentuh duit tu,
simpan untuk saat getir anda dan biar ianya 'bercambah'

Tuesday, October 19, 2010

Skim Rumah Pertama: Jadikan ASET

Masih mengenai Skim Rumah Pertama, bagaimana ianya
boleh menjadi musibah jika anda menggunakannya
untuk membina LIABILITI anda dan rahmat jika anda
guna untuk bina ASET anda. Anda boleh baca artikel
semalam di;

http://www.getresponse.com/archive/uruskewangan/Skim-Rumah-Pertama-Bakal-Liabiliti-anda-5085906.html

===============================================
Bagaimana membeli rumah ber'status' LIABILITI
===============================================

Rumah ini adalah rumah untuk anda diami, jika anda
menggunakan Skim Rumah Pertama 0% downpayment untuk
membeli, anda RUGI. Sangat RUGI. Kenapa?

.... Anda membayar lebih banyak duit 'interest'...
Lebih banyak duit anda rugi dalam jangka masa panjang...

Sedikit pengiraan kasar, harga rumah maksimum skim
rumah pertama ialah RM220,000. Anda lihat berapa
jumlah 'interest' yang anda bayar;

********************
0% downpayment
********************

Harga Rumah: RM220,000
% interest (kasar): 6.30% (BLR Oktober)
Tempoh bayaran balik: 30 tahun
Bayaran bulanan: RM1,362
Jumlah bayaran pada bank: RM490,320
Jumlah lebihan anda bayar: RM490,320 - RM220,000
: RM270,320

********************
10% downpayment
********************

Harga Rumah: RM220,000
% interest (kasar): 6.30%
Tempoh bayaran balik: 30 tahun
Bayaran bulanan: RM1,226
Jumlah bayaran pada bank: RM441,360
Jumlah lebihan anda bayar: RM441,360 - RM220,000
: RM221,360


Perbezaan lebih kurang RM48,960. Tapi anda lihat, jika
anda bayar 10% downpayment sekalipun, jumlah keseluruhan
yang anda bayar pada bank adalah melebihi harga 2 buah
rumah yang anda beli... inikan pula jika 0% downpayment.
AMAT RUGI... AMAT RUGI..


Cara ideal untuk membeli rumah untuk anda sendiri diami
dan MENGURANGKAN anda bayar 'interest' (sesuatu yang merugikan)
adalah dengan;

1 - bayar downpayment tinggi
2 - pendekkan tempoh pinjaman

Lagi panjang tempoh bayaran, lagi tinggi interest, lagi banyak
wang yang tak sepatutnya dibayar, lagi tinggi bank untung


================================================================
Jadi Bagaimana nak MANIPULASI Skim Rumah Pertama menjadi ASET?
================================================================

Jadikan rumah tersebut sebagai rumah sewa. Anda beli dan sewakan!
Ketika itu, rumah yang anda beli sudah menjadi ASET buat anda
kerana ianya mendatangkan wang untuk anda, dan bukan mengeluarkan
wang dari poket anda. Lihat balik takrifan ASET dan LIABILITI
dalam artikel sebelum ini.

Untuk beli rumah untuk ANDA SENDIRI DIAMI, cara ideal ialah;

1 - bayar downpayment tinggi
2 - pendekkan tempoh pinjaman
>>>>akan mengurangkan jumlah interest yang perlu dibayar

Untuk beli rumah untuk disewakan, idealnya kontra dengan
idea ideal rumah anda diami;

1 - bayar downpayment serendah mungkin
2 - panjangkan tempoh pinjaman sepanjang mungkin

Tapi menggunakan Skim Rumah Pertama, anda tak perlu bayar
downpayment! Zero cost untuk anda!

nantikan sambungan artikel ini dalam email akan datang,
saya akan tunjukkan cerakin;

"membina ASET PERTAMA pada kos HAmPIR KOSONG: Manipulasi SRP"


Muaz Hadi
pengurusanwang.com

Skim Rumah Pertama: Bakal Liabiliti anda?

Bagaimana dengan belanjawan 2011 yang dibentangkan?
Pasti ramai yang senyum dan ada juga yang tak berapa
suka, tapi itu biasalah, tak semua hati boleh dipuaskan.

Saya amat tertarik dengan SKIM RUMAH PERTAMA yang
diumumkan oleh YAB Perdana Menteri yang secara kasarnya
memberi peluang kepada orang ramai yang mempunyai pendapatan
isi rumah di bawah RM3000 memiliki rumah pertama mereka
tanpa perlu membayar downpayment 10% seperti yang menjadi
amalan pinjaman perumahan sebelum ini.

Ini adalah satu langkah yang positif jika dilihat secara
kolektif tetapi boleh jadi sebaliknya juga, bergantung
kepada bagaimana ianya diambil.

==================================
Bagaimana Ianya Menjadi Positif
==================================

Memberi peluang kepada lebih ramai orang memiliki
rumah, terutama graduan-graduan yang baru nak
membina kerjaya. Mereka tak perlu lagi menunggu
sehingga setahun++ untuk mengumpul downpayment 10%
kira-kira RM22,000 dan tak perlu membazir menyewa
rumah dalam tempoh tersebut.

Dalam kes ini, kita harus berterima kasih kepada kerajaan


=====================================
Bagaimana Ianya Menjadi Negatif
=====================================

Mesti ada yang tahu skim 0% downpayment pembelian
kereta kan? Apa kesan skim tersebut? Berapa banyak
kereta yang ditarik oleh bank sebab kegagalan pembeli
membayar bayaran bulanan.

Dalam Skim Rumah Pertama, belum diketahui bagaimana
mekanisma penampan untuk mengelakkan senario yang sama
berlaku kepada pinjaman perumahan. Kita tak mahu ianya
berlaku kerana ianya akan merugikan dan membawa kepada
bank tarik semula rumah dan siap sedia untuk dilelong..

Dalam kes ini, semua kena berjaga-jaga


===================================
Bagaimana Ianya Menjadi Peluang?
===================================

Ada beberapa peluang di sini, antaranya anda boleh
membina aset pertama anda! Tapi anda perlu berfikir
dengan cara yang berlainan sedikit, aset yang dimaksudkan
disini;

ASET = rumah yang membuatkan duit MASUK ke poket
LIABILITI = rumah yang membuatkan duit KELUAR dari poket

Rumah yang anda beli dengan pinjaman untuk didiami jika dikira
dalam definisi ini adalah LIABILITI dan rumah yang anda
beli dengan pinjaman untuk disewakan adalah ASET

Jadi anda boleh menggunakan Skim Rumah Pertama untuk membina
aset anda dan membuat pinjaman yang lain untuk membeli
rumah sebenar anda, tapi anda kena bijak merangka dalam
kes ini kerana anda bakal mempunyai 2 rumah!


===============================================
Bagaimana membeli rumah ber'status' LIABILITI
===============================================

Rumah ini adalah rumah untuk anda diami, jika anda
menggunakan Skim Rumah Pertama 0% downpayment untuk
membeli, anda RUGI. Sangat RUGI. Kenapa?

.... Anda membayar lebih banyak duit 'interest'...
Lebih banyak duit anda rugi dalam jangka masa panjang...

Cara ideal untuk membeli rumah untuk anda sendiri diami
dan MENGELAKKAN anda bayar 'interest' (sesuatu yang merugikan)
adalah dengan;

1 - bayar downpayment tinggi
2 - pendekkan tempoh pinjaman

Lagi panjang tempoh bayaran, lagi tinggi interest, lagi banyak
wang yang tak sepatutnya dibayar, lagi tinggi bank untung


====Gunakan "Skim Rumah Pertama" untuk membeli Rumah
ber'status ASET.. nantikan sambungan dalam email yang
seterusnya.


Muaz Hadi
pengurusanwang.com
tipsptd.com/blog
bagaimana-nak.com

Monday, October 18, 2010

Tip beli rumah idaman

MEMILIKI kediaman atas nama sendiri menjadi idaman semua individu namun, tidak ramai yang tahu prosedur pembelian rumah, malah lebih memeningkan kepala memikirkan faktor kewangan bagi membayar ansuran bulanan.

Kebanyakan individu keliru memikirkan soal rumah sebagai keperluan atau kemahuan yang mana pada akhirnya akan menimbulkan pelbagai masalah berikutan kekurangan wang bagi menampung perbelanjaan bulanan yang hampir separuh disalurkan untuk membayar ansuran rumah yang diidamkan.

Ikuti temu bual wartawan Bisnes Metro, Syarifah Dayana Syed Bakri bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Hijrah Wealth Management Sdn Bhd, Mahdzir Md Isa (gambar), mengenai panduan sebelum membuat keputusan membeli rumah bagi mereka yang pertama kali bercadang memiliki kediaman sendiri.


APAKAH perkara yang harus diambil kira sebelum membuat keputusan untuk membeli rumah?

Perkara utama yang harus difikirkan sebelum membuat keputusan ialah melihat kemampuan kewangan sendiri. Ini kerana tidak semua individu yang bekerja dan mempunyai pendapatan bulanan mampu membayar ansuran bulanan bagi kediaman jenis banglo.

Untuk memudahkan perancangan, kita perlu membuat kiraan dengan menolak semua perbelanjaan termasuk hutang, simpanan dan pelaburan. Baki yang tinggal digelar sebagai lebihan dan ia menjadi penanda aras untuk menentukan rumah jenis apa yang harus dibeli.


Namun, harus diingat bahawa pendapatan bulanan tidak seharusnya dicampur dengan elaun atau bayaran kerja lebih masa (OT) kerana ia bukan sebahagian pendapatan tetap.


Sekiranya individu itu mempunyai lebihan sebanyak RM500, adakah dia perlu membeli kediaman yang menetapkan ansuran bulanan sekitar jumlah sama?

Faktor pemilihan yang harus diambil kira adalah lokasi dan jumlah lebihan RM500 itu mungkin cukup sekiranya rumah yang ingin dibeli itu berada pada lokasi yang setara.

Sebelum pinjaman perumahan diluluskan, bank akan melihat kelayakan pemohon. Ini termasuk meneliti pendapatan bulanan dan harga rumah yang ingin dibeli. Malah, bank akan melihat sama ada bayaran bulanan tidak melebihi satu per tiga gaji.

Contohnya, pembeli ingin mendapatkan rumah berharga RM150,000. Sekiranya dicampur faedah yang dikenakan bank, bayaran pendahuluan serta tempoh pembiayaan, maka bayaran bulanan mencecah RM1,012 dan ia jelas menunjukkan pembeli yang mempunyai lebihan pendapatan RM500 masih belum mampu membeli rumah berharga RM150,000.


Jika perkara seumpama itu berlaku, apakah langkah yang harus diambil oleh individu itu?

Ada pihak berpendapat bahawa lebih baik membeli rumah walaupun perbelanjaan bulanan mungkin tidak cukup berbanding menyewa bertahun-tahun. Pendapat itu mungkin tidak berapa benar kerana dengan menyewa, individu itu masih mampu menyimpan bagi membuat pembayaran pendahuluan lebih tinggi walaupun dia terpaksa menyewa hampir 10 tahun.

Mungkin ada individu yang mengikat perut untuk membayar ansuran bulanan rumah, namun harus ambil kira simpanan untuk kecemasan.

Selain itu, bagi mereka yang masih ingin mendapatkan rumah sendiri, memilih rumah yang dilelong adalah satu cara yang baik kerana harga rumah lelongan adalah 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

Jangan terus melabelkan rumah lelong sebagai rumah tinggal atau banyak kerosakan kerana bakal pembeli berhak melihat keadaan rumah sebelum membuat bidaan.


Apa pula perkara yang harus diambil kira sebelum membuat keputusan membeli rumah?

Banyak pihak hanya menyediakan wang pendahuluan 10 peratus daripada harga rumah, namun tanpa disedari jumlah wang yang diperlukan adalah lebih banyak daripada itu kerana ia merangkumi kos guaman serta surat perjanjian jual beli. Maka, untuk lebih selamat, bakal pembeli perlu menyediakan wang sebanyak 15 peratus daripada harga rumah bagi mengelakkan kesesakan di kemudian hari.

Malah, saya nasihatkan supaya sebelum membuat keputusan untuk membeli rumah, pastikan anda benar-benar mempunyai simpanan yang cukup untuk membuat bayaran pendahuluan kerana idea membuat pinjaman peribadi bagi membayar wang pendahuluan hanyalah akan menambah masalah.

Selain itu, antara tip yang boleh diguna pakai adalah bayar wang pendahuluan setinggi yang boleh supaya boleh memohon pinjaman bank serendah yang boleh serta tetapkan tempoh pembayaran sesingkat yang boleh antara 15 hingga 20 tahun.

Walaupun ada bank yang menawarkan pinjaman sehingga dua generasi mencecah tempoh 40 tahun, ia bukan satu langkah yang bijak kerana kita pasti tidak mahu mewariskan hutang kepada anak-anak.


Apa nasihat untuk mereka yang pertama kali membuat pembelian rumah?

Kita sedia maklum semua orang memiliki rumah idaman masing-masing dan tidak ada yang mengidamkan untuk memiliki rumah kecil. Namun, sebagai permulaan, ia adalah langkah terbaik kerana rumah adalah keperluan. Walaupun kita mahukan rumah semi-D berharga RM300,000, namun berdasarkan pendapatan semasa ia di luar kemampuan, maka tidak salah sekiranya kita membeli apartmen atau flat yang murah.

Dalam tempoh 10 tahun, harga rumah mungkin akan meningkat. Sekiranya keadaan itu berlaku, ambil tindakan dengan menjual rumah berkenaan dan wang yang diperoleh boleh digunakan untuk membayar wang pendahuluan rumah idaman anda.

Jangan tertekan dengan spekulasi bahawa sekiranya tidak beli rumah sekarang, harga akan meningkat. Memang benar harga rumah akan meningkat namun, ia tidak akan melebihi dua kali ganda harga kini dalam tempoh lima tahun. Malah, harga siling rumah ditetapkan pasaran. Jika terlalu mahal, tiada siapa akan beli.

(http://www.hmetro.com.my -18 oktober 2010)

Friday, October 15, 2010

Jaga Wang Anda

Pernahkah anda terfikir apa yang akan berlaku kepada sebuah kebun sayur yang terbiar? Sudah tentu kebun itu mempunyai lebih banyak pohon layu berbanding tumbuh-tumbuhan berdaun hijau dan buah-buahan segar. Perkara yang sama juga berlaku kepada pelaburan. Jika tidak diawasi, anda mungkin tidak akan melihat hasil dan pulangan yang diharapkan.

Oleh itu, jika membuat kajian sebelum melabur itu penting, maka mengekalkan disiplin untuk memantau pelaburan itu juga sama pentingnya. Mengawasi pelaburan merupakan aktiviti yang perlu dilakukan bagi memastikan prestasi pelaburan anda bergerak selaras dengan perancangan kewangan dan jangkaan anda. Dengan memantau pelaburan anda, anda boleh menyesuaikan strategi anda sama ada meningkatkan pulangan atau mengurangkan kerugian. Diberikan di sini beberapa panduan mudah untuk mengawasi pelaburan anda:

Perhatikan perubahan yang berlaku

Kita hidup dalam dunia yang berubah-ubah. Segala-galanya bergerak dan berubah dengan pantas. Oleh itu, tidak kira betapa teliti dan terperinci pun anda membuat perancangan kewangan, ia tetap akan dipengaruhi oleh perubahan. Perubahan kepada undang-undang dan peraturan, persekitaran ekonomi dalam negara dan dunia yang berubah-ubah sifatnya, (contohnya, krisis kewangan Asia pada tahun 1997), perubahan dalam pasaran modal dan perubahan dalam keuntungan syarikat boleh mempengaruhi pelaburan anda.

Kesan daripada perubahan itu, pelaburan anda mungkin perlu disusun semula untuk disesuaikan dengan perancangan kewangan dan matlamat anda dengan lebih baik lagi. Pelabur yang bijak perlu proaktif kepada semua perubahan ini.

Nilaikan prestasi

Anda perlu memantau dan menilai prestasi pelaburan anda secara berterusan untuk mengetahui keadaan pelaburan tersebut. Periksa selalu bagaimana saham, dana unit amanah dan pelaburan anda yang lain bergerak dibandingkan dengan perancangan yang anda buat ketika mula-mula menetapkan matlamat pelaburan anda dahulu. Jika pelaburan anda berada dalam keadaan memuaskan, anda mungkin mahu melaburkan lebih banyak wang, atau mengeluarkan sebahagian daripada keuntungan anda dan membeli produk pelaburan yang lain. Jika prestasi pelaburan itu tidak berlaku sebagaimana yang diharapkan, anda mungkin mahu menjualnya.
Berapa kerap anda perlu menyemak pelaburan anda bergantung kepada saiz dan jangka masa pelaburan tersebut, dan sama ada anda memilih aset yang berisiko tinggi atau rendah.

Simpan dokumen pelaburan

Cara paling mudah memantau pelaburan anda adalah dengan menyemak dokumen dan penyata yang dihantar kepada anda. Penyata pelaburan (misalannya, akaun penyata CDS, penyata akaun urus niaga dan nota kontrak) memudahkan proses pemantauan anda.

Sebagai contoh, nota kontrak yang dikeluarkan oleh syarikat broker saham untuk mengesahkan transaksi pasaran saham anda. Sesuatu nota kontrak, yang merupakan dokumen yang sah di sisi undang-undang, mengandungi butiran penting mengenai transaksi pelaburan anda, umpamanya butiran mengenai urus niaga, pembrokeran, duti setem, fi penjelasan, kos pembelian dan hasil daripada jualan. Jika anda tidak menerima nota kontrak, anda mesti menghubungi remisier anda dan mendesak supaya nota itu dihantar dengan segera.

Apa yang perlu anda buat sejurus sahaja menerima dokumen pelaburan anda ialah membaca dan memeriksa ketepatan maklumat di dalamnya. Jika anda fikir terdapat sebarang maklumat tidak tepat, hubungi profesional pelaburan anda dengan segera. Anda juga mesti memfailkan dokumen tersebut secara sistematik untuk rujukan pada masa hadapan.
Paling baik jika anda boleh mengawasi sendiri pelaburan anda dan tidak menyerahkan tugas itu kepada orang lain. Pengawasan perlu dilakukan secara kerap tanpa henti kerana pengawasan yang dilakukan sekali-sekala mungkin boleh menyebabkan anda mengalami kerugian.

DUIT: Bayar hutang atau simpan?

Walaupun terdapat banyak maklumat yang boleh diperolehi mengenai pengurusan wang, kebanyakan daripada kita masih lagi tidak dapat merancang kewangan dengan baik. Statistik menunjukkan bahawa hutang kad kredit rakyat Malaysia berjumlah hampir RM25 bilion (setakat Mac 2010). Situasi ini sememangnya merisaukan dan isu kepentingan menyimpan duit dan membayar hutang sepatutnya menjadi satu perkara yang dititik beratkan oleh semua lapisan masyarakat.

Persoalannya, dengan pendapatan yang terhad, apakah kita patut menggunakan duit gaji untuk membayar hutang sedia ada atau wang itu sepatutnya disimpan? Mana satu perlu didahulukan? Yang mana satu patut menjadi keutamaan? Membayar hutang atau membuat simpanan?

Ini adalah keputusan penting yang harus dibuat kerana walaupun mempunyai akaun simpanan adalah satu cara untuk merancang masa depan, tetapi menjadi bebas hutang adalah strategi yang sangat berkesan bagi mencapai kedudukan kewangan jangka panjang yang stabil. Pada akhir artikel ini, anda akan dapat mengenal pasti langkah-langkah yang boleh diambil untuk membantu mencari keseimbangan antara menyimpan duit dan membayar hutang.

Langkah #1: Wujudkan Dana Kecemasan

Sebelum anda membuat keputusan sama ada untuk meyimpan duit atau menjelaskan hutang, langkah pertama yang harus dilakukan adalah membina dana kecemasan terlebih dahulu. Dana kecemasan secara amnya merujuk kepada wang yang disimpan untuk digunakan ketika anda betul-betul memerlukannya. Ini sepatutnya menjadi matlamat simpanan anda yang paling utama. Setelah itu, barulah anda menyimpan untuk pembelian rumah, pendidikan anak dan juga persaraan. Tidak kira sama ada anda seorang yang baru ingin menyimpan duit atau sudah mempunyai simpanan yang banyak, mempunyai sejumlah wang yang mencukupi dalam dana kecemasan akan memberikan ketenangan fikiran kerana anda sudah mempunyai perlindungan yang sewajarnya.

Dana kecemasan adalah penting kerana sekiranya menghadapi masalah seperti kehilangan kerja, ditimpa penyakit, kereta rosak dan sebagainya, anda tidak perlu berhutang. Denganini, situasi kewangan anda tidak terlalu terjejas walaupun menghadapi kesukaran seperti di atas. Ingatlah bahawa dana kecemasan ini harus digunakan dalam keadaan yang terdesak sahaja dan bukannya untuk percutian, membeli barang kesukaan atau “kehendak-kehendak” yang lain.

Jadi berapakah jumlah dana kecemasan yang harus anda disimpan? Kebanyakan pakar kewangan mencadangkan bahawa anda menyimpan sebanyak tiga hingga enam bulan daripada perbelanjaan bulanan. Apabila gaji meningkat, tambahkan jumlah simpanan dana kecemasan supaya anda sentiasa memiliki simpanan sebanyak enam bulan daripada perbelanjaan bulanan. Akhir sekali, sentiasa tambah semula dana kecemasan jika anda telah menggunakannya.


Langkah #2: Langsaikan Hutang Anda

Setelah mempunyai simpanan dalam dana kecemasan, kini masanya untuk mengalihkan perhatian kepada teras masalah anda iaitu HUTANG. Oleh kerana gaji yang terhad, anda perlu menggunakan sebahagian atau semua duit yang dahulunya disimpan dalam dana kecemasan untuk membayar hutang.

Bagaimana pula dengan simpanan? Ia mungkin bukan satu tindakan yang bijak untuk menambah lagi duit simpanan apabila anda masih mempunyai hutang. Kebanyakan hutang mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi daripada akaun-akaun simpanan biasa di bank. Dengan itu, anda sebenarnya kerugian lebih banyak duit daripada hutang tersebut berbanding duit yang diperolehi daripada akaun simpanan.

Contohnya, katakan anda mempunyai RM6,000 dalam sebuah akaun simpanan dengan pulangan 2% setahun dan hutang kad kredit sebanyak RM3,000 dengan kadar faedah 18% setahun. Berapakah jumlah duit anda selepas lima tahun? Jawapannya adalah sifar – anda akan hilang kesemua simpanan dan masih lagi berhutang RM200 kerana hutang akan meningkat kepada RM6,800, manakala simpanan hanya bertambah sebanyak RM600.

Satu lagi pilihan adalah untuk melaburkan duit tersebut. Sekiranya produk pelaburan itu memberikan kadar faedah yang tinggi, anda boleh mengunakan keuntungan yang diperolehi untuk menjelaskan hutang sedia ada. Akan tetapi, ambil perhatian bahawa pelaburan mempunyai risikonya tersendiri dan anda mungkin mengalami kerugian. Ini bergantung kepada tahap risiko sesuatu produk pelaburan pilihan anda.

Walaupun memilih untuk melabur, matlamat utama anda masih lagi untuk menjelaskan hutang. Maka, hutang mana yang harus dijelaskan dahulu? Biasanya, hutang dengan kadar faedah yang paling tinggi seperti kad kredit, pinjaman peribadi dan pinjaman kereta harus dibayar dahulu. Biarkan pinjaman perumahan dan pinjaman pendidikan sebagai yang terakhir kerana pinjaman-pinjaman sebegini biasanya mempunyai kadar faedah yang lebih rendah dan dianggap sebagai “hutang yang baik”.

Langkah #3: Fokus pada Masa Depan

Setelah menjelaskan hutang-hutang yang penting, anda bolehlah kembali memberi perhatian kepada usaha untuk meningkatkan simpanan. Ketepikan sejumlah wang setiap bulan untuk dimasukkan ke dalam akaun simpanan anda (ini juga dikenali sebagai prinsip “bayar diri sendiri dahulu”). Jika majikan membenarkan pemotongan gaji bulanan secara automatik, ambil peluang itu agar anda tidak terlupa untuk memindahkan duit tersebut.

Setelah itu, inilah masanya untuk mula melihat kepada peluang membuat duit berkerja untuk anda iaitu dengan melaburkan duit yang ada. Anda boleh menggunakan sebahagian daripada wang simpanan untuk dilaburkan dan membantu menghasilkan pulangan. Produk pelaburan yang dipilih bergantung kepada objektif pelaburan dan toleransi risiko anda. Akhir sekali, sentiasa awasi pelaburan untuk memastikan ia sejajar dengan matlamat anda.

Dengan ketiga-tiga langkah yang telah disebutkan, anda kini tahu bagaimana untuk mula mencari keseimbangan antara menyimpan duit dan menjelaskan hutang. Ingatlah bahawa menyimpan duit, melabur dan menjelaskan hutang adalah perkara-perkara jangka panjang yang berkaitan dengan cara hidup anda dan komitmen-komitmen kewangan lain. Selalunya, anda perlu melakukan perubahan kepada cara hidup bagi mencapai keseimbangan di antara ketiga-tiga perkara tersebut dan ianya bukanlah suatu yang mudah. Akan tetapi, jika anda ingin mempunyai kedudukan kewangan yang stabil, mencari keseimbangan antara menyimpan duit dan menjelaskan hutang anda adalah kuncinya.