Friday, October 15, 2010

Jaga Wang Anda

Pernahkah anda terfikir apa yang akan berlaku kepada sebuah kebun sayur yang terbiar? Sudah tentu kebun itu mempunyai lebih banyak pohon layu berbanding tumbuh-tumbuhan berdaun hijau dan buah-buahan segar. Perkara yang sama juga berlaku kepada pelaburan. Jika tidak diawasi, anda mungkin tidak akan melihat hasil dan pulangan yang diharapkan.

Oleh itu, jika membuat kajian sebelum melabur itu penting, maka mengekalkan disiplin untuk memantau pelaburan itu juga sama pentingnya. Mengawasi pelaburan merupakan aktiviti yang perlu dilakukan bagi memastikan prestasi pelaburan anda bergerak selaras dengan perancangan kewangan dan jangkaan anda. Dengan memantau pelaburan anda, anda boleh menyesuaikan strategi anda sama ada meningkatkan pulangan atau mengurangkan kerugian. Diberikan di sini beberapa panduan mudah untuk mengawasi pelaburan anda:

Perhatikan perubahan yang berlaku

Kita hidup dalam dunia yang berubah-ubah. Segala-galanya bergerak dan berubah dengan pantas. Oleh itu, tidak kira betapa teliti dan terperinci pun anda membuat perancangan kewangan, ia tetap akan dipengaruhi oleh perubahan. Perubahan kepada undang-undang dan peraturan, persekitaran ekonomi dalam negara dan dunia yang berubah-ubah sifatnya, (contohnya, krisis kewangan Asia pada tahun 1997), perubahan dalam pasaran modal dan perubahan dalam keuntungan syarikat boleh mempengaruhi pelaburan anda.

Kesan daripada perubahan itu, pelaburan anda mungkin perlu disusun semula untuk disesuaikan dengan perancangan kewangan dan matlamat anda dengan lebih baik lagi. Pelabur yang bijak perlu proaktif kepada semua perubahan ini.

Nilaikan prestasi

Anda perlu memantau dan menilai prestasi pelaburan anda secara berterusan untuk mengetahui keadaan pelaburan tersebut. Periksa selalu bagaimana saham, dana unit amanah dan pelaburan anda yang lain bergerak dibandingkan dengan perancangan yang anda buat ketika mula-mula menetapkan matlamat pelaburan anda dahulu. Jika pelaburan anda berada dalam keadaan memuaskan, anda mungkin mahu melaburkan lebih banyak wang, atau mengeluarkan sebahagian daripada keuntungan anda dan membeli produk pelaburan yang lain. Jika prestasi pelaburan itu tidak berlaku sebagaimana yang diharapkan, anda mungkin mahu menjualnya.
Berapa kerap anda perlu menyemak pelaburan anda bergantung kepada saiz dan jangka masa pelaburan tersebut, dan sama ada anda memilih aset yang berisiko tinggi atau rendah.

Simpan dokumen pelaburan

Cara paling mudah memantau pelaburan anda adalah dengan menyemak dokumen dan penyata yang dihantar kepada anda. Penyata pelaburan (misalannya, akaun penyata CDS, penyata akaun urus niaga dan nota kontrak) memudahkan proses pemantauan anda.

Sebagai contoh, nota kontrak yang dikeluarkan oleh syarikat broker saham untuk mengesahkan transaksi pasaran saham anda. Sesuatu nota kontrak, yang merupakan dokumen yang sah di sisi undang-undang, mengandungi butiran penting mengenai transaksi pelaburan anda, umpamanya butiran mengenai urus niaga, pembrokeran, duti setem, fi penjelasan, kos pembelian dan hasil daripada jualan. Jika anda tidak menerima nota kontrak, anda mesti menghubungi remisier anda dan mendesak supaya nota itu dihantar dengan segera.

Apa yang perlu anda buat sejurus sahaja menerima dokumen pelaburan anda ialah membaca dan memeriksa ketepatan maklumat di dalamnya. Jika anda fikir terdapat sebarang maklumat tidak tepat, hubungi profesional pelaburan anda dengan segera. Anda juga mesti memfailkan dokumen tersebut secara sistematik untuk rujukan pada masa hadapan.
Paling baik jika anda boleh mengawasi sendiri pelaburan anda dan tidak menyerahkan tugas itu kepada orang lain. Pengawasan perlu dilakukan secara kerap tanpa henti kerana pengawasan yang dilakukan sekali-sekala mungkin boleh menyebabkan anda mengalami kerugian.

No comments:

Post a Comment