Friday, October 15, 2010

Menabung Untuk Membeli Rumah Idaman

Memiliki rumah sendiri merupakan impian setiap individu dan ia lazimnya pelaburan yang paling mahal bagi seseorang itu sepanjang hidupnya. Namun, keputusan membeli sebuah rumah boleh menimbulkan pelbagai implikasi kewangan sebaik sahaja anda memberikan komitmen untuk membeli rumah tersebut. Bayaran balik pinjaman perumahan akan menjadi perbelanjaan yang paling besar buat anda setiap bulan untuk jangka masa yang panjang.

Oleh itu, anda perlu membuat perancangan yang teliti dengan menentukan jumlah wang yang boleh digunakan untuk membeli rumah idaman. Di akhir artikel ini, anda akan dapat menentukan jumlah wang yang mampu diperuntukkan bagi membeli sebuah rumah idaman.

Berikut adalah 3 soalan penting yang perlu dipertimbangkan sebelum melaburkan wang dalam rumah idaman anda:

1) Berapa banyakkah wang yang mampu anda keluarkan daripada simpanan untuk membiayai bayaran pendahuluan dan kos sampingan pembelian sebuah rumah?
Bayaran pendahuluan ialah wang yang perlu dibayar untuk memastikan anda dapat menjadi pemilik sesebuah rumah yang diidamkan. Lebih tinggi bayaran pendahuluan, maka semakin kecil amaun yang perlu dibayar setiap bulan kepada pihak bank untuk menyelesaikan pinjaman perumahan anda. Selain itu, kadar bunga yang dikenakan juga lebih rendah. Selain itu, kadar bunga yang dikenakan juga lebih rendah. Lazimnya, wang pendahuluan yang sepatutnya dibayar adalah di antara 5-20% harga jualan rumah tersebut. Walau bagaimanapun, jangan lupa yang anda juga perlu menyediakan wang yang secukupnya untuk yuran guaman, duti setem, insuran dan juga kos pengubahsuaian rumah apabila kunci rumah diserahkan kelak.

Berdasarkan aset asas anda, tetapkan jumlah yang mampu dikeluarkan untuk membeli rumah anda. Di sini, anda dinasihatkan untuk sekurang-kurangnya menyimpan wang yang sama banyak dengan perbelanjaan bulanan anda selama 4-6 bulan sebagai simpanan kecemasan. Pastikan anda tidak mengusik wang yang disimpan untuk persaraan anda kelak, lebih-lebih lagi jika anda kini di peringkat pertengahan umur.


2) Berapa banyak wang yang anda boleh keluarkan daripada pendapatan bulanan untuk meningkatkan kadar simpanan atau untuk membayar pinjaman perumahan anda?
Jika anda sudahpun mempertimbangkan soalan (1) dan mendapati wang yang ada dalam tangan tidak mencukupi, langkah seterusnya ialah untuk meningkatkan kadar simpanan anda. Anda boleh cuba untuk membuka satu akaun simpanan khas untuk pembelian rumah. Pastikan anda memperuntukkan peratusan yang tetap daripada gaji anda untuk disimpan dalam akaun tersebut setiap bulan. Kaji dengan terperinci perbelanjaan anda, dan cuba kurangkan perbelanjaan untuk perkara yang tidak perlu seperti barangan mewah, hiburan dan percutian.

Anda juga perlu tahu jumlah yang mampu dibayar untuk pinjaman perumahan anda. Lazimnya, bayaran untuk pinjaman perumahan tidak seharusnya melebihi 30% daripada gaji kasar anda. Selain itu, pastikan wang anda mencukupi untuk membayar perbelanjaan lain seperti yuran penyelenggaraan, bil-bil air, elektrik dan sebagainya. Cara terbaik untuk mengawal perbelanjaan anda ialah dengan membuat bajet dan mendisiplinkan diri anda untuk mengikut bajet yang telah anda sediakan.

3) Berapa banyak wang yang boleh dikeluarkan daripada Akaun II KWSP untuk membiayai kos rumah anda?
Periksalah akaun KWSP II anda untuk mengetahui amaun yang boleh dikeluarkan untuk pembayaran rumah anda. Ini penting kerana ia dapat meringankan beban pembiayaan rumah yang dibeli. Mengikut laman web KWSP, amaun yang layak dikeluarkan pencarum KWSP adalah seperti berikut:

* Pembelian Individu: Perbezaan di antara harga rumah dengan jumlah pinjaman dan tambahan 10% daripada harga rumah ATAU semua simpanan dalam Akaun II, mengikut mana yang lebih rendah;
* Pengeluaran Bersama Suami/Isteri, Ahli Keluarga, atau Individu Yang Lain: Perbezaan di antara harga rumah dengan jumlah pinjaman dan tambahan 10% daripada harga rumah ATAU semua simpanan dalam Akaun II bagi semua pemohon tertakluk kepada amaun maksima yang layak dikeluarkan. Jika anda memperolehi pinjaman penuh (100%), anda layak mengeluarkan 10% daripada harga rumah ATAU semua simpanan dalam Akaun II, mengikut mana yang lebih rendah

Untuk maklumat lanjut, layari laman web KWSP di http://www.kwsp.gov.my/ ataupun hubungi mana-mana pejabat KWSP terdekat.

Sesudah mengira kesemua sumber kewangan yang ada berdasarkan soalan-soalan di atas, anda kini sudah bersedia untuk memulakan pencarian rumah baru anda. Membeli sebuah rumah merupakan satu peristiwa yang sangat penting bagi kebanyakan daripada kita. Oleh itu pastikan anda mengambil masa yang secukupnya dalam mencari rumah yang anda idam-idamkan, iaitu sebuah rumah yang menepati kehendak anda serta mampu dimiliki. Jangan terburu-buru dalam membuat pilihan, terutama sekali sewaktu ekonomi berada di paras yang tinggi dan menyebabkan pasaran hartanah melonjak naik. Jika anda membeli rumah pada waktu tersebut, besar kemungkinan anda akan kecewa sekiranya harga rumah yang dibeli turun pada paras yang lebih rendah.

Dalam masa yang sama, anda juga bolehlah mula meninjau pakej pinjaman perumahan yang terbaik. Sekarang ini, terdapat saingan sengit dikalangan bank-bank di mana terdapat pelbagai pakej pinjaman ditawarkan. Namun begitu, sesetengah kontrak pinjaman agak sukar difahami dan mengelirukan. Oleh itu, pastikan anda meneliti kesemua syarat-syarat dan terma-terma pakej pinjaman perumahan yang ditawarkan. Membuat pilihan yang tepat, dengan mengambil kira kadar faedah yang dikenakan dan sebagainya, boleh menjimatkan sejumlah wang yang besar untuk anda. Membeli rumah idaman bukan sahaja menimbulkan rasa puas hati dalam diri, malah ia boleh membawa keuntungan dalam jangka masa panjang sekiranya anda membuat pilihan yang tepat dan merancang pembelian daripada mula lagi.

No comments:

Post a Comment