Friday, October 15, 2010

Empat Fakta Asas mengenai Indeks Pasaran Saham yang Harus Anda Ketahui

Dalam bahagian perniagaan sesuatu akhbar, anda pasti akan menyedari terdapat beberapa muka surat mengenai Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI). Tahukah anda apakah yang dimaksudkan dengan indeks tersebut? Secara amnya, indeks ini digunakan oleh pelabur untuk mengukur prestasi keseluruhan pasaran saham di Malaysia. Namun, ramai orang sebenarnya tidak benar-benar memahami apa itu indeks pasaran saham serta bagaimana ia dikira. Jangan bimbang kerana setelah selesai membaca artikel ini, anda akan berupaya:
• mengenal pasti ciri-ciri indeks pasaran saham
• mengenal pasti cara menghitung indeks pasaran saham, dan
• menyedari bagaimana indeks pasaran saham boleh mempengaruhi keputusan pelaburan anda.

1) Apakah indeks pasaran saham?
Indeks pasaran saham ialah nombor yang dikira berdasarkan harga kumpulan saham tertentu untuk sesuatu pasaran. Indeks ini biasanya akan mempunyai ciri-ciri yang berikut:
• Boleh dilabur – saham yang diambil kira dalam pengiraan indeks adalah apungan bebas (free float) yang diwajarkan untuk mewakili saham yang boleh dilabur secara tepat. Ini bermakna saham yang dipegang oleh pengarah dan keluarga pengasas, kerajaan, pegangan saham bersilang dari syarikat berkaitan dan pegangan yang tertakluk kepada klausa tertutup adalah dikecualikan. Elemen “boleh dilabur” ini sangat penting terutamanya dalam indeks yang mengikut teknik wajaran permodalan pasaran.
• Boleh didagang – memastikan kecairan yang mencukupi untuk memudahkan dagangan kesemua saham dalam indeks; dan
• Telus – peraturan-peraturan asas yang jelas akan memastikan ketelusan dan memudahkan pemahaman mengenai bagaimana indeks diuruskan.

Apabila indeks itu mempunyai asas yang luas dan mewakili ekonomi negara dan prestasi keseluruhan pasaran saham (contohnya FBM KLCI, Indeks Dow Jones Industrials Amerika Syarikat atau Nikkei 225 Jepun), syarikat yang termasuk dalam pengiraan indeks biasanya adalah penggerak utama pasaran yang disenaraikan di pasaran saham. Ia juga mempunyai hubungan yang erat dengan pembangunan ekonomi negara tersebut. Terdapat juga indeks yang skopnya lebih terhad, seperti indeks yang mewakili sektor atau industri tertentu.

2) Bagaimanakah indeks pasaran saham dikira?
Terdapat tiga jenis indeks pasaran, berdasarkan kaedah wajaran yang digunakan dalam menentukan nilai indeks saham iaitu: wajaran harga, wajaran permodalan pasaran dan wajaran bahagian saham:

Indeks

Indeks wajaran harga

Indeks wajaran permodalan pasaran

Indeks wajaran sama

Keterangan

Mengambil kira purata harga syarikat dalam indeks

Mempertimbangkan jumlah nilaipasaran syarikat dalam indeks

Semua pulangan saham diberikan wajaran yang sama

Bagaimana ia dikira

(Tambahkan kesemua harga pasaran semua saham dalam indeks)

÷

(Jumlah bilangan saham dalam indeks)

(Jumlah harga saham terkini)

×

( Jumlah saham yang belum dijelaskan dalam indeks)

Dikira dengan dolar pelaburan yang sama setiap saham dalam indeks

Ciri-ciri

Sensitif kepada pergerakan harga saham yang besar, tanpa mengira saiz syarikat

Perubahan kecil dalam harga saham syarikat besar akan membawa kesan yang ketara kepada nilai indeks

Biasanya mempunyai kadar pusing ganti saham yang lebih tinggi berbanding indeks wajaran permodalan pasaran dan oleh itu, mempunyai kos jual beli yang lebih tinggi

Contoh

Indeks Dow Jones Industrials dan Nikei 225 Jepun

Bursa Malaysia

Purata Garisan Nilai Komposit Amerika Syarikat


3) Apakah kegunaan indeks?
Indeks pasaran saham biasanya digunakan sebagai petunjuk ekonomi untuk pelabur mengukur pembangunan ekonomi secara keseluruhan dan prestasi pasaran. Selain itu, pengurus dana dan pelabur yang bercadangmenguruskan portfolio pelaburan mengikut prestasi pasaran akan memilih indeks pasaran yang sesuai sebagai petanda aras portfolio pelaburan mereka. Indeks pasaran saham juga digunakan sebagai instrumen pendasar dalam dana tukaran dagangan (ETF), indeks dana unit amanah atau terbitan ekuiti seperti ekuiti niaga hadapan dan pertukaran (swaps).

4) Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI)

Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) terdiri daripada 30 syarikat terbesar yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia, mengikut permodalan pasaran dan memenuhi syarat kelayakan mengikut peraturan-peraturan asas yang ditakrifkan FTSE Bursa Malaysia. Indeks ini dikira berdasarkan formula wajaran nilai dan diselaraskan oleh faktor apungan bebas dengan menggunakan jam masa nyata (real time) dan harga dari Bursa Malaysia. Nilai Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia dikira dan dikemas kini setiap 15 saat. Kesinambungan nilai KLCI juga mengekalkan pergerakan terdahulu pasaran saham Malaysia.

Kesimpulan
Jika anda melabur buat kali pertama, pengiraan indeks merupakan salah satu cara untuk mula mempelajari tentang pasaran saham. Pengetahuan tentang pengiraan indeks pasaran saham akan membantu anda menganalisa dan mengikuti pergerakan pasaran saham dengan cepat dari hari ke hari, bulan ke bulan atau tahun ke tahun. Pengetahuan mendalam tentang pengiraan pasaran saham juga akan membantu anda meramal pergerakan yang mungkin terjadi dalam pasaran saham tanpa perlu bergantung kepada spekulasi atau tekaan. Ini kemudiannya akan membolehkan anda membuat keputusan pasaran saham yang cepat dan efektif termasuk dalam menentukan masa yang sesuai untuk menjual, membeli atau terus memegang saham.

© Securities Industry Development Corporation 2010. Untuk mendapatkan panduan pelaburan bijak, layari laman web Pelabur Malaysia (http://www.min.com.my/).
Jika anda berminat berkongsi, menerbit atau mengedar semula artikel ini, sila emel min@min.com.myAlamat email ini dilindungi dari Spambot. Perlukan JavaScript untuk melihatnya .

*Nota: Artikel ini ditulis oleh En. Ooi Kok Hwa, pemegang Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal untuk menjalankan urusan nasihat pelaburan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini ialah untuk tujuan pendidikan semata-mata dan mencerminkan keadaan pasaran pada sesuatu masa tertentu yang mungkin berlalu dan menyebabkan artikel ini tidak lagi relevan. Artikel ini tidak semestinya mewakili pendapat Securities Industry Development Corporation dan tidak boleh dianggap sebagai pengganti untuk nasihat perundangan atau mana-mana nasihat profesional yang lain.

No comments:

Post a Comment