Wednesday, June 23, 2010

Berwaspada Dengan Kos Tersembunyi

(dipetik dari http://www.ehomemakers.net)

Membelanjakan wang memang mudah, tetapi bukan mudah membelanjakan wang dengan bijak. Cara yang terbaik ialah dengan berbelanja mengikut perancangan yang teliti supaya tidak membazir pada perkara-perkara yang tidak perlu. Walau bagaimana ketat sekalipun seseorang itu membuat belanjawan harian, kadang kala berlaku juga kesilapan. Sebabnya ialah: kos tersembunyi tidak diambil kira semasa belanjawan dirancang.

Setiap orang mempunyai belanjawan untuk dirancang dan dijalankan. Malah murid-murid sekolah juga harus belajar membelanjakan duit poket mereka dengan bijak! Apabila umur kita semakin meningkat, belanjawan kita menjadi semakin rumit kerana lebih banyak perkara harus ditambah. Secara amnya, seorang dewasa yang bekerja terpaksa menanggung bayaran sewa-beli kereta, rumah, perbelanjaan harian, simpanan masa depan dan sebagainya. Anda mungkin berfikir bahawa dengan perancangan kewangan yang teliti selama bertahun-tahun, kita sepatutnya telah biasa dan dapat melakukannya dengan mudah. Malangnya, agak mengejutkan bahawa kebanyakan perbelanjaan kita masih lagi menyimpang sebanyak 20 peratus dari belanjawan yang dibuat.

Ini berlaku akibat kos tersembunyi yang tidak diambil kira di dalam belanjawan. Kos tersembunyi adalah perbelanjaan yang kita tidak kira semasa kita merancang belanjawan kerana ia kelihatan tidak penting. Walau bagaimanapun, perkara-perkara kecil ini akan terkumpul dan mengakibatkan perbelanjaan sebenar kita lebih tinggi daripada belanjawaan. Malah, kadang kala kos tersembunyi ini boleh jadi begitu besar sehingga meliputi sebahagian besar daripada perbelanjaan kita.

Berikut adalah lima situasi yang melibatkan kos tersembunyi:

Situasi 1

Saya menerima RM1,000 daripada suami saya untuk membeli barang keperluan harian dan untuk perbelanjaan harian anak-anak. Saya memperuntukkan RM500 untuk makanan dan selebihnya digunakan untuk perbelanjaan anak-anak.

Kos tersembunyi wujud apabila saya terlebih berbelanja semasa membeli barang keperluan harian setiap minggu. Saya membeli barang-barang yang tidak terdapat dalam senarai kerana terpengaruh dengan promosi istimewa yang diadakan. Akhirnya, saya telah berbelanja lebih daripada yang dirancang.

Sejak itu, saya mula sedar dan lebih berhati-hati. Sebelum membeli sesuatu barang yang tiada dalam senarai, saya akan bertanya tiga soalan: Adakah ia perlu? Adakah saya benar-benar mampu? Apakah akibatnya jika saya tetap membeli barang tersebut?

Situasi 2

Lily memulakan perniagaan dari rumah dengan modal sebanyak RM5,000. Dia menyenaraikan perbelanjaan pokok sebagai komputer, mesin pencetak dan talian telefon. Bagi perbelanjaan operasi pula termasuklah alat tulis, telefon dan bil elektrik. Perbelanjaan pokok dan perbelanjaan operasi kesemuanya berjumlah RM5,000. Adakah ini betul? Tidak, kerana dia tidak mengira kos tersembunyi seperti kos perjalanan untuk membeli alat tulis dan membayar bil. Dia juga tidak mengambil kira kos penyelenggaraan peralatan seperti komputer.

Situasi 3

Jason memperuntukkan RM500 untuk pergi bercuti. Semasa bercuti, dia mengalami keracunan makanan dan terpaksa dimasukkan ke hospital selama dua hari. Di sana, dia membuat panggilan jarak jauh kepada keluarganya untuk memberitahu mereka bahawa dia terpaksa tinggal di sana selama satu hari lagi kerana keadaan kesihatannya. Dia juga terpaksa melepaskan tiket keretapinya dan membeli tiket lain. Kos tersembunyi akibat jatuh sakit dan akibat dari penyakit itu sahaja berjumlah RM600!

Situasi 4

Mei Lee pergi membeli-belah. Pulang ke rumah, dia mendapati ruang almarinya tidak cukup untuk menyimpan kesemua baju-baju barunya. Oleh itu dia pergi membeli sebuah almari kayu kecil. Malangnya, almari itu tidak seimbang kerana salah satu kakinya lebih pendek daripada yang lain. Justeru itu, dia memanggil tukang kayu untuk menyelesaikan masalah ini. Kos tersembunyi yang terlibat -- membeli almari baru dan membayar tukang kayu -- berjumlah lebih daripada harga baju-baju barunya.

Situasi 5

Ai Ling mahu membeli kereta terpakai. Dia telah memperuntukkan tidak lebih daripada RM10,000 untuk itu. Semasa pergi ke kedai kereta terpakai, dia terpikat pada sebuah kereta yang berharga RM10,000. Adakah ini langkah yang bijak? Tidak, kerana dia tidak memperuntukkan apa-apa untuk penyelenggaraan kereta, cukai jalan dan insuran kereta.

Dalam beberapa situasi tertentu, agak mudah untuk mengenalpasti kos tersembunyi ini. Malangnya situasi ini jarang berlaku. Dengan membuat perancangan yang teliti, anda boleh berjimat dan menyimpan. Beri keutamaan kepada keperluan dan perbelanjaan asas termasuk sewa rumah, utiliti, makanan, perjalanan dan perbelanjaan untuk anak-anak. Kemudian belanjalah sebahagian daripada wang yang anda perolehi untuk berehat dan berekreasi seperti bersenam, pergi bercuti, berhibur dan makan di luar. Sebahagian daripada wang anda perlu disimpan untuk masa kecemasan seperti kesihatan dan bayaran-bayaran yang tidak dijangka.

Kesimpulannya, jangan lupa mengambil kira perbelanjaan-perbelanjaan kecil semasa anda merancang belanjawan anda. Jangan lupa merancang untuk masa-masa kecemasan dan perbelanjaan yang tidak dijangka. Kos tersembunyi bukan sahaja akan menggunakan banyak wang, tetapi juga masa dan tenaga. Akhir sekali, ingatlah bahawa sedikit ekstravaganza akan mendatangkan lebih banyak senyuman.

No comments:

Post a Comment