Wednesday, June 23, 2010

Panduan Menggunakan Kad Kredit

by www.bharian.com.my

PADA musim perayaan ini, kita sering terjurus kepada berbelanja lebih dengan alasan menyambut hari keraian yang datang setahun sekali. Biasaannya, perbelanjaan tidak dapat ditampung oleh pendapatan bulanan mahupun wang tabungan.
Oleh itu, ikhtiar terakhir ialah dengan menggunakan kad kredit. Syarikat kad kredit sebenarnya menggalakkan anda berhutang, lebih-lebih lagi dengan membayar ansuran setiap bulan kerana mereka mendapat keuntungan dengan mengaut faedah yang dikenakan.

Walaupun kita mengimpikan kehidupan tanpa kad kredit, tetapi sememangnya kegunaan kad kredit tidak boleh dipertikaikan kepentingannya. Lebih-lebih lagi di saat kecemasan. Oleh itu adalah wajar untuk kita mempunyai satu kad kredit. Malangnya, kebanyakan kita mempunyai lebih dari satu dan lebih malang lagi apabila hanya segelintir yang dapat melangsaikan hutang dalam masa ditetapkan.
Oleh itu, siri kali ini akan mengupas peraturan kad kredit yang mesti dipatuhi seandainya anda ingin menang di dalam permainan ini.

Peraturan kad kredit:

Peraturan 1
Jangan bawa baki bulan ini ke bulan hadapan.
Peraturan pertama yang mesti anda patuhi ialah jangan membawa baki bayaran bulan ini ke bulan berikutnya. Mempunyai baki bayaran hanya bermakna anda terpaksa membuat pembayaran lebih daripada sepatutnya. Sesungguhnya, kegagalan mematuhi peraturan 1 hanya akan menambahkan beban hutang.

Jadi tanyakan diri anda. Adakah anda seorang yang lazimnya mempunyai baki bulanan atau adakah anda membayar secara keseluruhan jumlah hutang? Jika anda bernasib baik, anda tergolong di dalam kategori kedua dan tidak terperangkap di dalam pembayaran faedah. Tetapi berlainan pula dengan mereka yang mempunyai baki hutang. Mereka sebenarnya terperangkap di dalam hutang yang semakin meningkat akibat kegagalan membayar.

Peraturan 2
Baca semua yang terkandung di dalam lampiran atau borang permohonan. Pastikan anda membaca dan meneliti semua yang terkandung di dalam lampiran atau borang permohonan. Ini penting untuk anda melindungi diri sebagai pengguna. Pastikan anda mendapat penjelasan sewajarnya kepada setiap kemusykilan yang diutarakan.
Juga pastikan anda membaca dan meneliti semua bil yang sampai ke tangan anda.
Ini penting kerana anda pastinya tidak mahu terlepas daripada mengetahui sebarang perubahan polisi yang dikenakan ke atas kad kredit anda. Harus diingat, syarikat pengeluar kad kredit mempunyai kebebasan membuat sebarang pindaan dan lazimnya setiap perubahan akan efektif di dalam tempoh waktu yang singkat.

Peraturan 3
Elakkan denda bayaran lewat. Pastikan anda membayar hutang di dalam tempoh waktu yang ditetapkan. Kelewatan membayar hanya mengakibatkan anda terjerumus ke dalam hutang yang lebih banyak disebabkan jumlah yang meningkat setiap kali anda gagal melunaskannya.

Peraturan 4
Pertahankan hak anda sebagai pengguna. Jika anda mendapati syarikat pengeluar kad kredit gagal berfungsi dengan cekap, maka anda perlu segera membuat aduan. Di dalam persaingan pasaran yang sengit, mereka tidak boleh memandang ringan segala aduan yang diterima dan lazimnya, anda akan mendapat layanan sewajarnya.

Peraturan 5
Jangan tergesa-gesa membuat pilihan. Dewasa ini, amat banyak kad kredit yang ditawarkan di pasaran. Sebagai pengguna bijak, luangkan masa anda mencari kad yang menawarkan pilihan terbaik seperti tiada bayaran tahunan dan kadar faedah yang rendah. Tidak ada gunanya untuk anda terus menggunakan kad kredit yang mengenakan faedah tinggi dan mempunyai masa selamat yang singkat. Untuk mengetahui cara memilih kad kredit, sila rujuk siri terdahulu.

Peraturan 6
Berhenti menggunakan kad kredit. Akhir sekali, ini adalah peraturan yang jika dipatuhi, akan menghasilkan perubahan positif ke atas kedudukan kewangan anda. Individu yang mempunyai kedudukan kewangan yang baik tidak akan menggunakan kad kredit untuk membuat pinjaman wang dan tidak akan membayar hutang untuk tempoh masa yang panjang dengan kadar faedah yang tinggi. Individu ini juga tidak akan membeli sesuatu di luar kemampuan. Malangnya, ramai di antara kita yang tertipu dengan anggapan bahawa kedudukan kewangan mereka terjamin selagi mampu membayar jumlah minimum setiap bulan. Secara asasnya, pastikan anda mempunyai satu kad kredit dan hanya gunakannya di waktu kecemasan.

Peraturan itu adalah panduan utama untuk anda menggunakan kad kredit. Antara lain bermakna, membebaskan diri anda daripada hutang yang tidak sepatutnya di samping bijak menggunakannya di waktu tertentu. Oleh itu, jika anda bersungguh mahu memenangi permainan ini, pastikan anda mematuhi peraturan disediakan.

No comments:

Post a Comment